Selamat Datang

Yayasan Pembangunan Buku Negara
13
Dis

PENERBITAN BUKU AGAMA DAN TAMADUN ISLAM: SOROTAN PENGALAMAN DAN PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

PENERBITAN BUKU AGAMA DAN TAMADUN ISLAM: SOROTAN PENGALAMAN DAN PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Abd Khalik bin Sulaiman
Noriyani binti Yusoff
Suryani binti Zakaria
Siti Maizatul Rozihani binti Ikhsan

Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia

Latar Belakang Program Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 dan memulakan operasi  pertamanya di Bukit Timbalan Johor Bahru dengan nama Balai Pustaka. Hasil daripada resolusi  Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu   pada 16-21 September tahun tersebut, nama Balai Pustaka ditukar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.  Pada bulan Julai 1957 DBP berpindah ke Jalan Young Kuala Lumpur, dan dari saat itu bermulalah era penting dalam sejarah perkembangan penerbitan buku Melayu di Malaysia. Sebelum tertubuhnya DBP, penerbitan buku banyak diusahakan oleh Pejabat Karang-Mengarang (nama asalnya Badan Menterjemah), Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Penerbitan dalam bahasa Melayu merupakan wahana penting bagi perkembangan ilmu dan tamadun negara bangsa Malaysia. Melalui penerbitan dalam bahasa Melayu, DBP membina dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu serta bidang ilmu yang telah dikenal pasti dapat memenuhi keperluan masyarakat Malaysia. Peranan DBP dalam penerbitan jelas  diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 (Pindaan 1978), iaitu:

”Mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.”

Sebagai sebuah badan penerbitan kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  bukan sahaja terlibat dalam penerbitan buku teks sekolah dan majalah, bahkan turut terlibat dalam penerbitan buku umum dalam pelbagai bidang ilmu seperti sains sosial dan kemanusiaan,  sains dan teknologi, serta buku agama, falsafah dan tamadun Islam sama ada buku ilmu mahupun buku kreatif.

Sebagai sebuah badan kerajaan, DBP mempunyai garis panduan dalam menerbitkan bahan-bahan terbitannya. Bahan-bahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memberi keutamaan terhadap penerbitan berbahasa Melayu yang menjadi wahana perkembangan ilmu dan tamadun bangsa. Walau bagaimanapun, penerbitan dalam bahasa-bahasa lain juga diberi perhatian, dan penerbitan dalam bahasa-bahasa lain tidak pula bersalahan dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, terutamanya yang berkaitan dengan pengembangan bahasa dan sastera negara, serta yang berkaitan dengan kepentingan pendidikan negara.
Dasar penerbitan yang digariskan merangkumi penerbitan konvensional dan elektronik dengan kandungan yang bermutu yang dapat memenuhi keperluan pembaca. Dasar ini akan memastikan judul-judul yang diterbitkan akan memberi manfaat yang besar kepada  pembaca selain daripada memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Justeru, judul-judul yang diterbitkan ada yang tidak memberikan pulangan kewangan yang menguntungkan, namun diharap dapat memberi impak yang besar dalam memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Sebagai sebuah penerbit yang juga badan kerajaan, tumpuan penerbitan DBP adalah kepada judul-judul yang kandungannya dapat:

– Memanfaatkan pembaca secara positif dan memenuhi tanggungjawab sosial DBP.

– Membina tamadun bangsa.

– Merangsang minda pembaca.

– Menyemaikan nilai-nilai murni, selaras dengan keperluan dalam kurikulum pendidikan negara.

– Meningkatkan ilmu dan daya fikir masyarakat.

– Menyampaikan dasar-dasar kerajaan, sama ada secara tersurat mahupun secara tersirat.
Dalam tempoh lebih lima dekad penubuhannya DBP telah menerbitkan lebih 10,000 judul buku dalam pelbagai bidang ilmu untuk pelbagai peringkat pembaca. Bermula dengan buku terjemahan anak Raja dengan Anak Papa pada tahun 1957, buku terbitan DBP meningkat kepada kira-kira 300 judul pada tahun 1960, dan kini meningkat lebih daripada 10,000 judul.

Sebagai sebuah agensi kerajaan, tidak semuanya bahan terbitan DBP bermotifkan keuntungan komersial. Kira-kira 40 peratus bahan terbitan DBP adalah untuk memenuhi tanggungjawab sosial. Penerbitan buku yang amat khusus pasarannya seperti buku ilmiah dan buku sastera seperti puisi dan drama ada kalanya diterbitkan dalam kuantiti yang begitu kecil, iaitu kira-kira 500 naskhah sahaja, dan kos penerbitannya yang tinggi terpaksa diberikan subsidi. Dalam penerbitan buku teks pula, walaupun DBP diberi tanggungjawab menerbitkan banyak judul, terutamanya buku teks sekolah rendah, namun tidak semua buku tersebut dicetak dalam kuantiti yang besar. Buku-buku untuk pelajar aliran vokasional, pelajar masalah penglihatan, pelajar masalah pendengaran, pelajar masalah pembelajaran serta buku dalam bahasa etnik seperti bahasa semai, bahasa iban, bahasa kadazandusun, dan bahasa tamil dicetak dalam kuantiti yang kecil dengan kos yang cukup besar, yang ada antaranya hanya untuk memenuhi keperluan bagi kira-kira seratus orang pelajar sahaja. Dengan kata lain “mahal tali daripada kerbau”. Sebagai contoh, daripada 110 judul buku teks yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2016, hampir separuh daripadanya dicetak pada kuantiti yang kecil, sedangkan kos penerbitan tidak jauh berbeza dengan judul-judul untuk mata pelajaran aliran perdana.
Dalam melaksanakan program penerbitannya, DBP memberikan penekanan yang sama rata terhadap kuantiti dan kualiti. Bagi DBP, selain meningkatkan kuantiti judul buku yang diterbitkan, penekanan terhadap kualiti dari segi kandungan dan persembahan turut diberi keutamaan. Sebelum membuat keputusan untuk menerbitkan sesuatu judul, penilaian dibuat oleh tenaga dalaman dan pakar luar. Malah, ada judul yang dinilai melebihi sekali oleh pakar luar bagi memastikan kandungan buku yang akan diterbitkan bermutu.
Fungsi penerbitan DBP diletakkan di bawah Jabatan Penerbitan. Jabatan Penerbitan DBP dibentuk secara rasmi pada tahun 1986 dan ketika itu hanya ditunjangi oleh tiga bahagian, iaitu Bahagian Buku Pelajaran, Bahagian Penterjemahan dan Bahagian Majalah. Penyusunan semula DBP pada tahun 1995, 1999 dan 2010 turut melibatkan penstrukturan semula Jabatan Penerbitan.  Penstrukturan semula tersebut adalah sesuai dengan tuntutan perkembangan semasa dan hala tuju penerbitan DBP. 

Sejak dari awal  penubuhannya,  DBP berfungsi untuk membina manuskrip sehingga ke peringkat penghasilan manuskrip bersih serta  menerbitkan dan memasarkannya.  Dalam usaha mencapai matlamat, misi dan visi DBP, melalui program penerbitannya DBP meletakkan beberapa sasaran yang harus dicapai. Antaranya:
(i)           Menerbitkan bahan bacaan, rujukan dan maklumat hibur berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk semua peringkat pembaca melalui media cetak dan elektronik.
(ii)          Menyebarluaskan bahan bacaan, rujukan dan maklumat hibur dalam bahasa Melayu melalui terjemahan ke bahasa-bahasa lain.
(iii)         Menerbitkan hasil penyelidikan dalam bidang bahasa dan sastera Melayu yang diusahakan oleh DBP.
(iv)         Membina kepustakaan Melayu.
(v)          Membina dan membimbing penulis untuk menghasilkan penulis yang mampu menghasilkan karya yang bermutu melalui bengkel penulisan dan program pembinaan judul.
(vi)   Melaksanakan program pembinaan tenaga pakar luar seperti penilai, penyunting dan penyusun entri indeks.
(vii)          Mengenal pasti judul untuk cadangan terjemahan kepada bahasa utama dunia oleh pihak luar, khususnya Institut Terjemahan Negara Malaysia, dan mengambil bahagian dalam program memperkenalkan penulis Malaysia kepada masyarakat umum pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 
(viii)         Mengadakan program lain yang berkaitan dengan penerbitan seperti wacana intelektual, seminar, kolokium, bengkel dan lain-lain serta mengambil bahagian dalam program seumpamanya yang dianjurkan oleh pihak lain.

Tonggak dalam melaksanakan tanggungjawab membina dan menguruskan bahan persuratan, terutamanya bahan persuratan Melayu, pada masa ini digalas oleh sebelas bahagian utama di Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu: 

Bahagian Buku Bahasa:Bertanggungjawab membina dan menerbitkan buku dalam pelbagai bidang bahasa dan lingustik dari peringkat rendah hingga ke peringkat dewasa, bagi karya umum dan karya ilmiah, termasuk membina bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran untuk guru dan pelajar dalam bidang bahasa Melayu.

Bahagian Buku Sastera:Bertanggungjawab membina dan menerbitkan buku dalam pelbagai genre sastera untuk peringkat dewasa, bagi karya umum dan karya ilmiah, kreatif dan buukan kreatif.

Bahagian Buku Umum:Bertanggungjawab membina dan menerbitkan buku umum dan ilmiah peringkat dewasa dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan serta Agama dan tamadun Islam.

Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja: Bertanggungjawab membina dan menerbitkan buku untuk peringkat kanak-kanak dan remaja dalam pelbagai bidang ilmu dalam bentuk karya kreatif dan bukan kreatif. Bahagian ini turut menerbitkan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai bidang ilmu, kecuali bidang bahasa Melayu yang diuruskan oleh Bahagian Buku Bahasa.

Bahagian Majalah:Bertanggungjawab menguruskan penerbitan majalah dan jurnal dalam bahasa, sastera, ekonomi, budaya, agama, serta sains dan teknologi untuk peringkata kanak-kanak, remaja dan dewasa. Pada masa ini bahagian ini menguruskan penerbitan 11 majalah bulanan dan empat jurnal dwitahunan. Kesemua 11 majalah dan empat jurnal DBP diterbitkan secara konvensional dan digital, yang boleh dicapai secara dalam talian.
Bahagian Buku Sekolah:Bertanggungjawab menguruskan penerbiitan buku teks peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dalam pelbagai aliran, termasuk aliran teknik dan vokasional serta aliran Agama. Buku-buku yang diterbitkan merangkumi buku teks konvensional dan buku teks digital.

Bahagian Perkamusan:  Bertanggungjawab membina dan memantapkan korpus bahasa Melayu melalui penyusunan kamus ekabahasa dan dwibahasa.

Bahagian Ensiklopedia:Bertanggungjawab membina, memperkaya dan mengembangkan bahasa Melayu  dalam pelbagai bidang ilmu melalui penerbitan pelbagai jenis ensiklopedia.

Bahagia Multimedia:Bertanggungjawab membina dan menerbitkan karya digital dalam pelbagai bidang ilmu untuk peringkat kanak-kanak , remaja dan dewasa dalam bentukpenerbitan CD, VCD,  televisyen web, serta dalam talian.

Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan: Bertanggungjawab menguruskan penerbitan pada peringkat pasca editorial dari peringkat pracetak hingga ke peringkat cetak. Bahagian ini turut menjadi urus setia dalam menguruskan Dana penggerak Industri Buku Negara (PIBN).

Bahagian Harta Intelek:Bertanggungjawab menguruskan dan melindungi harta penulis yang hak ciptanya menjadi milik penulis atau organisasi berdasarkan Akta Hak Cipta. Bahagian ini turut menguruskan perjanjian lesen penerbitan, pembayaran royalti serta urusan pembelian dan penjualan hak cipta dalam dan luar negara.
Penerbitan Buku Agama dan Tamadun Islam

Pada awalnya, penerbitan   buku agama  dan tamadun Islam DBP ditangani di bawah unit yang kecil di Bahagian Buku Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian, fungsi penerbitannya dikhususkan  di bawah Projek Agama dan Tamadun Islam yang ditubuhkan pada 2 Januari 1993 yang diletakkan di bawah Jabatan Penerbitan DBP. Menyedari kepentingan penerbitan buku dalam bidang agama dan tamadun islam, pelaksanaan fungsi penerbitan buku agama dan tamadun Islam DBP distrukturkan semula pada Oktober 1995, dengan menaiktarafkan fungsi penerbitannya   di bawah sebuah bahagian yang khusus, yang dinamai Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI). Penerbitan buku-buku agama di Bahagian AFTI ini memenuhi semua sasaran pembaca yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa. Selain menerbitkan buku, bahagian ini turut menjalankan aktiviti keilmuan seperti seminar, bengkel dan wacana sebagai langkah mengembangkan ilmu Islam kepada masyarakat.

Pada 1 Ogos 2010 berlaku penstrukturan semula Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memberikan sinergi yang dinamik terhadap keseluruhan fungsi penerbitan DBP. Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI) digabungkan dengan dua bahagian lain dan dinaungi di bawah satu bahagian, iaitu Bahagian Buku Umum. Melalui penggabungan ini, perancangan bagi penerbitan buku-buku agama yang dibuat sebelum ini dilaksanakan dengan lebih aktif dan sistematik, dan dapat dibuat secara lebih menyeluruh merentas bidang-bidang ilmu yang lain seperti bidang sains dan teknologi, ekonomi, pengurusan, kewangan dan lain-lain. Selain itu, DBP turut menerbitkan buku dalam bidang pendidikan Islam bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, termasuk buku untuk pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia.
Sebagai sebuah agensi kerajaan, DBP turut memainkan peranan menyokong pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dengan menerbitkan buku atau wacana yang berkaitan, termasuk dalam penerbitan buku agama dan tamadun Islam. Antara dasar berkaitan yang dirujuk dalam pelaksanaan penerbitan buku agama dan tamadun Islam ialah:

     (i) Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran  yang telah diperkenalkan pada 
tahun 1985, yang merupakan sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur  Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia;
(ii)          Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2004 sebagai pemacu Wawasan 2020, yang merupakan sebagai   pendekatan untuk membangunkan ummah dan Negara berdasarkan perspektif ketamadunan Islam.
(iii)         Pelaksanaan program j-QAF, yang merupakan   antara usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain, yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah bagi memastikan semua bidang dalam pendidikan Islam dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.
Dalam penerbitan buku umum dalam bidang Agama dan Tamadun Islam, DBP menerbitkan buku dalam bidang teras Islam seperti Al-Quran  dan Hadis, Akidah dan TasawufDakwah, Sejarah dan Tamadun Islam,  Perundangan Islam dan Siyasah Syari’iyyah, Fiqh, Usuluddin, Falsafah dan Pemikiran Islam dan lain-lain. Selain bidang teras,  DBP juga menerbitkan buku-buku yang merentas bidang ilmu yang lain seperti sains dan teknologi, ekonomi, pendidikan, pengurusan, kewangan dan lain-lain. Buku-buku yang diterbitkan merupakan buku karya asli yang ditulis oleh para ilmuwan tanah air, buku ubah suai dan juga buku-buku yang diterjemahkan  daripada karya bahasa asing, yang sebahagian besarnya daripada kitab-kitab Arab yang tersohor. 
Penerbitan buku Agama karya asli dilaksanakan sama ada secara dalaman mahupun melalui kerjasama dengan pelbagai individu dan agensi luar.  Dalam tempoh tahun 2000 hingga Oktober 2016 DBP telah menerbitkan sebanyak 380 judul dalam bidang Agama untuk pelbagai peringkat pembaca. Daripada jumlah tersebut 70 (22.6%) judul merupakan buku kanak-kanak dan remaja, manakala 310 judul merupakan buku untuk peringkat dewasa, iaitu seperti dalam Jadual 1. Angka ini mewakili kira-kira 10  peratus daripada keseluruhan jumlah judul buku yang diterbitkan oleh DBP sepanjang tempoh tersebut. 

Judul-judul yang diterbitkan meliputi pelbagai bidang ilmu seperti Tafsir Al-Quran dan Hadis, Fiqh, Falsafah dan Pemikiran, Sirah, Perundangan, Bahasa Arab dan Jawi serta buku yang merentas bidang seperti dalam Jadual 2.  Selain itu, DBP turut menerbitkan kamus, ensiklopedia, glosari dan istilah dalam bidang Agama dan Tamadun Islam.

Jadual 1:  Penerbitan buku agama dan tamadun Islam mengikut peringkat oleh DBP dari tahun 2000-2016.
Tahun
Buku Kanak-kanak
dan Remaja
Buku Dewasa
Jumlah
Buku Bidang Lain
2000 – 2005
110
46
156
1303
2006-2010
88
55
143
855
2011-2016
15
66
81
1108
JUMLAH
213
167
380
3266
Jadual 2: Penerbitan buku buku agama dan tamadun Islam DBP 2000-2016 mengikut subbidang.
Subbidang
2000-2005
2006-2010
2011-2016
JUMLAH
Al-Quran dan Hadis
19
18
6
43
Akidah
2
1
7
10
Fiqh
8
3
6
17
Falsafah/Pemikiran
6
15
27
48
Sirah
116
10
4
130
Perundangan
1
2
2
5
Bahasa Arab/ Jawi
3
20
15
38
Merentas Bidang
2
5
12
19
Kanak-kanak/ Remaja (Umum)
0
70
0
70
JUMLAH
157
144
79
380
Kerjasama Penerbitan dengan Agensi Luar
DBP sentiasa berusaha mempertingkat jumlah judul buku yang diterbitkan  serta menerbitkan bahan terbitan yang bermutu melalui rancangan penerbitan yang lebih terancang dan berfokus. Justeru, DBP mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi penerbit dan bukan penerbit. Pihak-pihak dalam kerjasama tersebut saling memanfaatkan kelebihan masing-masing. Kepakaran DBP dalam bidang penerbitan dan kepakaran institusi yang berkenaan dalam bidang ilmu yang berkaitan disepadukan untuk menghasilkan bahan terbitan yang mantap dan bermutu tinggi. 

Kerjasama DBP ─ Jawatankuasa Kumpulan Pakar 
DBP sentiasa berusaha mempertingkat jumlah judul buku yang diterbitkan  serta menerbitkan bahan terbitan yang bermutu melalui rancangan penerbitan yang lebih terancang dan berfokus. Justeru, DBP mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi penerbit dan bukan penerbit. Pihak-pihak dalam kerjasama tersebut saling memanfaatkan kelebihan masing-masing. Kepakaran DBP dalam bidang penerbitan dan kepakaran institusi yang berkenaan dalam bidang ilmu yang berkaitan disepadukan untuk menghasilkan bahan terbitan yang mantap dan bermutu tinggi. 

Kerjasama DBP ─ Jawatankuasa Kumpulan Pakar Sejarah dan Falsafah Sains: Program ini merupakan antara usaha awal yang dilaksanakan oleh DBP dalam menghasilkan buku-buku yang berkaitan dengan Sejarah dan Falsafah Sains menurut perspektif Islam, selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan menurut acuan sendiri sebagaimana yang termaktub dalam Wawasan 2020.  Menyedari pendedahan terhadap ilmu sains yang berlandaskan acuan Barat semata-mata boleh mendatang banyak mudarat kepada kehidupan dan alam, dan menjadikan manusia buta terhadap sumbangan dan peranan para ilmuwan Islam terhadap kegemilangan tamadun dunia pada zaman silam, serta boleh menjadikan mereka sebagai umat yang rakus dan tidak beretika dalam mengeksploitasikan alam, DBP telah mengadakan kerjasama dengan para ilmuwan sains tempatan di bawah suatu jawatankuasa yang dinamai Jawatankuasa  Kumpulan Pakar Sejarah dan Falsafah Sains, yang ditubuhkan pada tahun 1991. Jawatankuasa ini dianggotai oleh beberapa orang pakar dalam pelbagai bidang sains dari Institusi Pengajian Tinggi Tempatan, yang antaranya ialah Prof. Dr.  Mohd. Yusof Haji Othman (Fizik – UKM), Prof. Dr. Abd Latif Samian (Falsafah Matematik – UKM),  Prof. Dr. Azizan Baharudin (Biologi – UM), Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain (Matematik – UKM), Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail (Falsafah Matematik – UPM), Prof. Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah al-Edrus (USM), dan Prof. Dr. Khalijah Mohd Salleh (Fizik – UKM). Selain merangka buku dalam bidang Sejarah dan Falsafah Sains, Jawatankuasa ini juga mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi lain bagi mengadakan sesi wacana ilmu berdasarkan tema tertentu, yang antaranya ialah kejasama dengan Jabatan Mufti Pulau Pinang. Buku-buku yang diterbitkan melalui jawatakuasa ini beasaskan tema yang merangkumi Sejarah Sains, Falsaafah Sains, Dasar dan Etika Sains serta Sains dan Masyarakat, yang digunakan dalam kursus Sejarah dan Falsafah Sains, yang menjadi kursus wajib di beberapa universiti awam tempatan. Buku pertama yang diterbitkan melalui kerjasama dengan jawatakuasa ini ialah Wacana Sejarah dan Falsafah Sains: Sains, Teknologi dan Globalisasi yang terbit pada tahun 2003.


Kerjasama DBP ─ Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM: Kerjasama penerbitan antara DBP dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia dibuat melalui kerjasama strategik yang dijelmakan melaui memorandum persefahaman yang dimeterai  pada bulan Januari 2014. ISDEV mempunyai kekuatan kepakaran yang berkaitan dengan pengurusan pembangunan Islam dalam pelbagai disiplin ilmu, manakala DBP mempunyai kekuatan dari segi pengurusan penerbitan, termasuk kepakaran dalam bidang penulisan dan editorial. Melalui kerjasama ini DBP terlibat secara langsung dalam pembinaan penulis dalam kalangan ilmuwan ISDEV. Kini, kerjasama antara DBP-ISDEV memasuki fasa ketiga. Tumpuan pembinaan manuskrip adalah kepada judul yang berasaskan pemikiran dan penyelidikan pengurusan Islam yang dilakukan secara sistematik. Melalui kerjasama ini, lebih daripada 30 judul buku yang berkaitan dengan pemikiran Islam telah diterbitkan yang merangkumi bidang pengurusan, ekonomi, pelancongan, politik, pendidikan dan lain-lain yang berasaskan doktrin Islam.

Projek Komisi Penerbitan: Sebagai penerbit kerajaan, DBP turut menggalas amanah dan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan kepada penerbit lain. Kekurangan sumber tenaga manusia bukanlah kekangan yang menjadi penghalang kepada DBP untuk melaksanakan fungsinya. Justeru, melalui projek komisi penerbitan, DBP menjalinkan kerjasama dengan beberapa penerbit. Antaranya ialah Pustaka Yamien Sdn. Bhd. dalam menerbitkan Siri Kegemilangan Anbiya’, terjemahan Ensiklopedia Safir (12 jilid),  dan penerbitan Tafsir Maudhu‘iy (tafsir bertema, 10 jilid);  Dar Bayazi Sdn. Bhd. dalam menerbitkan buku Biografi Ulama Malaysia dan Biografi Tokoh Dakwah; Makmal Grafik Sdn. Bhd. dalam penerbitan Ensiklopedia Islam (5 jilid); dan Syarikat Multi Excellence Productions (MEPS) dalam penerbitan Tafsir al-Maraghiy  (15 jilid).
Memanfaatkan Ilmuwan Agama dalam Penerbitan 
Satu lagi usaha dalam menghasilkan buku Agama dan Tamadun Islam yang bermutu serta mengisi lompang subbidang ilmu yang masih belum ada bukunya,  DBP mengambil inisiatif memanfaatkan para ilmuwan Agama yang ada di Institusi Pengajian Tinggi dan institusi lain yang berkaitan melalui pembentukan jawatankuasa dalam pelbagai subbidang ilmu Agama, yang mula dilaksanakan pada tahun 2013. Program yang dinamai Penerbitan Berpakej ini digerakkan dengan kerjasama tenaga pakar daripada IPT, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta individu yang pakar dalam bidang yyang berkaitan. Melalui kerjasama ini, maka falsafah ilmu dapat dilihat dengan lebih jelas berdasarkan pemetaan bidang dan perancangan judul yang lebih terancang serta penghasilan judul buku yang seimbang antara bidang dengan subbidang ilmu. Buku-buku yang dibina merangkumi  buku umum dan buku ilmiah untuk peringkat kanak-kanak, remaja dan dewasa.  Panel pakar yang dilantik berfungsi memberikan pandangan, mencadangkan buku yang perlu diterbitkan, dan mengenal pasti isu-isu semasa mengikut bidang yang boleh ditulis supaya karya yang dihasilkan berasaskan  perkembangan semasa dalam sesuatu bidang ilmu.
Sehingga kini, DBP telah menubuhkan beberapa panel pakar bidang yang khusus untuk bidang Agama bagi mendapatkan manuskrip yang berautoriti dalam pelbagai subbidang Agama. Panel-panel ini bertindak sebagai duta di institusi masing-masing, di samping berperanan sebagai pemangkin aktiviti penulisan. Mereka juga mengenal pasti kelompangan dalam sub-sub bidang Agama yang masih belum diterokai oleh penulis yang lepas. Selain itu, mereka menilai manuskrip supaya mendapat manuskrip yang bermutu dan menepati piawaian DBP. Panel Pakar Bidang yang telah ditubuhkan adalah seperti yang berikut:
·         – Pengajian al-Qur’an
·         – Pengajian Hadith
·         – Akidah dan Tasawuf
·         – Perundangan Islam dan Siyasah Syar’iyyah
·         – Falsafah dan Pemikiran Islam
·         – Sejarah dan Tamadun Islam
·         – Ekonomi Islam dan Muamalat
·         – Sains dan Teknologi Islam
·         – Dakwah
·         – Perbandingan dan Dialog antara Agama
·         – Pendidikan Islam
·         – Fiqh
Usaha DBP Membantu Penerbit Bumiputera

Menyedari tiada perhatian yang khusus diberikan terhadap pembangunan industri perbukuan negara, pada tahun 2005 DBP telah mengambil inisiatif memohon kepada kerajaan agar diwujudkan suatu dana perbukuan khas yang dapat membantu individu, persatuan, dan penerbit buku bumiputera, khususnya penerbit berskala kecil dan sederhana, dalam usaha meningkatkan judul buku berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang dan kategori.  Antara matlamat dana ini ialah:


– Menyumbang terhadap pembentukan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dalam industri perbukuan buku.

– Memainkan peranan DBP dalam pelaksanaan Dasar Buku Negara, iaitu memastikan kegiatan pembangunan buku dijadikan salah satu perusahaan utama, iaitu perusahaan budaya dan ilmu.

– Membangunkan sumber manusia dalam industri perbukuan  melalui program latihan yang terancang.

Dana ini, yang dinamai dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) dan diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2006 memperuntukkan antara RM5,000.00 hingga RM30,000.00 bagi setiap judul buku berdasarkan kategori buku bagi membantu penerbit dalam pembinaan manuskrip. Kategori buku bagi dana ini ialah:

·         Buku ilmiah.
·         Biografi/autobiografi/memoir.
·         Buku umum dewasa.
·         Buku remaja.
·         Buku kanak-kanak.
·         Buku lain mengikut pertimbangan DBP.
Sehingga kini, DBP telah menguruskan pengagihan dana PIBN kepada 123 penerbit, dengan melibatkan 425 judul serta mengadakan beberapa kursus penerbitan dengan menggunakan dana ini. Daripada jumlah tersebut, 113 judul yang didanai adalah untuk buku Agama dan Tamadun Islam bagi pelbagai peringkat pembaca.
Penerbitan Karya Besar Tempatan 

Selain menerbitkan buku karya asli biasa, DBP turut mengusahakan penerbitan karya besar yang ditulis oleh para ilmuwan tempatan yang menjadi rujukan generasi kini dan akan datang. Penerbitan ini merupakan usaha DBP dalam mengiktiraf kepakaran dan keilmuwan sarjana tempatan. Antara karya yang diterbitkan adalah seperti yang berikut:
Tafsir Mubin (6 jilid): Buku tafsir ini ditulis oleh Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid dan disemak oleh Ahli Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Dewan Bahasa dan Pustaka, serta mendapat pengesahan daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Qur’an, Kementerian dalam Negeri pada 1 Ogos 2008. Kandungannya merupakan Tafsiran al-Qur’an 30 juzuk mengikut urutan surah, yang disampaikan secara yang lebih mudah difahami oleh orang awam.

Tafsir Maudhu‘iy: Buku ini merupakan tafsiran al-Qur’an yang menghimpunkan pelbagai ayat al-Qur’an di bawah satu tema, pada satu tempat. Terdapat 10 tema penting berkaitan isu semasa dalam siri ini. Tema yang dipilih dikupas secara umum, mudah dan tersusun, sesuai untuk bacaan masyarakat awam. Tafsiran ayat disokong oleh hadith-hadith sahih dan dikaitkan dengan kehidupan sosial, budaya, politik dan agama masyarakat di Malaysia. Buku ini menjadi panduan yang amat bermakna tentang al-Qur’an al-Karim yang diinterpretasikan dalam konteks sosiobudaya Malaysia. Penulisan Tafsir Maudhu‘iy ini diusahakan oleh sekumpulan ilmuwan agama tempatan yang berwibawa dalam bidang masing-masing, yang merangkumi 10 bidang, iaitu Akidah; Ibadah; Kekeluargaan; Ekonomi dan Kewangan; Akhlak; Politik dan Urus Tadbir; Hudud; Qisas dan Ta`zir; Ilmu dan Tamadun; Masyarakat dan Pembangunan Sosial; dan Pemuliharaan Alam Sekitar. Tafsir ini diterbitkan pada tahun 2014.

Siri Biografi Tokoh Dakwah/ Biografi Ulama Malaysia: Projek yang dikomisikan kepada Syarikat Dar Bariyazi ini[a11]  ditulis oleh para pensyarah daripada beberapa universiti tempatan. Kandungannya memuatkan biodata dan sumbangan beberapa tokoh Islam daripada pelbagai bidang seperti hadis, fiqh, pemikir, pendidik dan sebagainya. Antara judul dalam siri ini ialah Ibn Hajar al-‘Asqalani: Tokoh Ilmu Hadith, Muhammad Rashid Rida: Pemikir dan Reformis Islam, Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi: Alim dan Rabbani, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Bani:  Muhaddith Abad ke-20.  Siri dalam Biografi Ulama Malaysia pula termasuklah Syeikh Abu Bakar al-Ashaari, Nik Mohd Mahyuddin Haji Musa, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Haji Omar Zuhdi, Abdullah Basmih, Dato’ Haji Muhammad Nor Ibrahim, Tuan Hussain Kedah, Mohamed Idris Al-Marbawi, dan Syeikh Tahir Jalaluddin.

Kamus Besar Arab-Melayu:Kamus yang mengandungi lebih 54,000 entri ini dihasilkan oleh kumpulan penyusun yang diketuai oleh Ustaz Othman Khalid (mantan Prof. Madya Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun, UKM). Entri dalam kamus ini berpandukan beberapa kamus tersohor seperti al-Mu‘jam al-Wasid, al-Munjid dan Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi. Setiap entri diberikan makna dan huraian dalam bahasa Melayu berserta contoh ayat mengikut konteks penggunaan dalam al-Qur’an, hadis dan teks klasik Arab.

Siri Kegemilangan Anbiya’ /The Glorious Prophet Series (200 judul): Penulis buku ini ialah Mohd Zaid Sani dan Ayesha Abdullah Scott. Siri ini mengandungi 200 jilid yang mengisahkan 25 orang nabi dan rasul. Siri ini diterbitkan dalam dua versi, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Siri ini memaparkan kisah yang berlaku dalam kalangan para nabi dan rasul yang diolah dengan cara yang berkesan dan dapat menarik minat pembaca. Kisah ini diolah supaya sejarah dan sirah itu betul-betul menepati Islam dan bukannya daripada sumber Israiliyyat. Siri ini dimulai dengan kisah Nabi Adam a.s. hingga ke zaman Nabi Muhammad SAW. Buku ini amat bermanfaat sebagai pemberi maklumat kepada ibu bapa, remaja, dan kanak-kanak. Buku ini dikomisikan kepada Pustaka Yamien Sdn. Bhd.
Al-Ahkam (7 jilid):Buku yang mengandungi rencana tentang undang-undang Islam yang diaplikasikan di Malaysia ini ditulis oleh para pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Al-Syariah (5 jilid):Buku yang ditulis oleh para pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini membincangkan secara ilmiah tentang kehakiman Islam di Malaysia dalam pelbagai sudut.

Selain judul-judul yang dinyatakan di atas, DBP turut memainkan peranan dalam usaha menyokong pelaksanaan program j-QAF dengan menerbitkan buku yang berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran j-QAF (Jawi, al-Qur’an, Bahasa Arab dan Fardu Ain) serta memperkenalkan tokoh cendekiawan Islam kepada kanak-kanak dan remaja. Judul-judul yang berkaitan seperti dalam Jadual 3.
Jadual 3: Terbitan DBP dalam menyokong pelaksanaan kurikulum persekolahan.
Bil.
Judul
Jumlah Judul
1.
Siri Pendidikan untuk j-QAF
50
2.
Siri Kemahiran dan kebolehan Menguasai Bahasa Arab
40
3.
Siri Pendidikan al-Qur’an untuk Kanak-kanak
70
4.
Siri Kisah Kanak-kanak (Qisas al-Atfal)
10
5.
Siri Kisah Teladan
5
6.
Siri Pengukuhan Bacaan Jawi Sekolah Rendah
50
7.
Siri Tokoh Cendekiawan Islam
30
Usaha Penterjemahan dan Pengdaptasian Karya Besar
Selain menerbitkan buku karya asli, DBP juga mengambil inisiatif menterjemah dan mengadaptasi karya besar ke dalam bahasa Melayu sebagai satu usaha memartabatkan bahasa Melayu dan menyebarkan ilmu secara lebih meluas, terutamanya kepada kumpulan sasar yang tidak menguasai bahasa asal karya berkenaan. Walau bagaimanapun, usaha ini diperlahankan setelah kewujudan Institut Terjemahan Negara (kini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia). Antara karya yang diterbitkan adalah seperti yang berikut:

Ensiklopedia Safir(12 jilid): Penerbit asal buku ini ialah Syarikat Safir, Kaherah.   Buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun 2000. Penterjemah buku ini ialah Dr. Hassan Basri bin Awang Mat Dahan et al. Cetakan kedua buku ini adalah pada tahun 2002, manakala cetakan ketiga pula pada tahun 2004. Ensiklopedia ini memaparkan maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an, Sunnah, akidah, fiqh, usul fiqh, sirah nabi, ulama Islam, sejarah Islam baharu dan lama, akhlak, agama dan lain-lain lagi. Ensiklopedia ini juga mampu menyelesaikan persoalan untuk mendapatkan maklumat ilmiah tentang alam dan manusia, kesenian dan kesusasteraan berserta kajian yang menyeluruh mengikut pandangan Islam.  Ensiklopedia ini sesuai dijadikan rujukan kepada para remaja, dewasa dan pengkaji.Para penulis asal ensiklopedia ini terdiri daripada tokoh akademik dalam bidang khusus masing-masing dari Universiti al-Azhar, Universiti Ain al-Shams, Universiti Kaherah dan Dar al-Ulum. Kewibawaan ensuklopedia ini tidak dapat dipertikaikan lagi sebagai rujukan global dan syumul dan sesuai untuk tatapan semua lapisan masyarakat Islam. Panel penulis ini sangat berpegang kepada prinsip kaji selidik yang teliti dan mendalam, memilih isi kandungan yang meliputi semua aspek ilmu Islam dalam bentuk yang terperinci. Ia juga mencakupi keperluan para pelajar dalam pelbagai sudut keilmuan, kesenian dan kesusasteraan. Buku ini dikomisikan kepada Pustaka Yamien Sdn. Bhd.

Al-Qur’anu ’L-Karim Terjemahan dan Huraian Maksud (5 Jilid): Penulis asal buku ini ialah Maulana ‘Abdullah Yusuf ‘Ali. Tafsir ini telah diterjemahkan oleh Abu Salah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dan diterbitkan pada tahun 1992. Cetakan kedua buku ini adalah juga pada tahun 1992 dan cetakan ketiga pula pada tahun 1999. Ia terdiri daripada 5 jilid. Buku ini merupakan kitab tafsir yang lengkap yang diusahakan oleh Maulana ‘Abdullah Yusuf ‘Ali. Tafsir ini ialah terjemahan keseluruhan surah al-Qur’an, iaitu sebanyak 114 surah bersama huraiannya. Penulis juga mentakwilkan pengertian ayat-ayat al-Qur’an yang memerlukan penjelasan yang terperinci. Dalam mentafsir ayat-ayat al-Qur’an ini, penulis telah merujuk tafsir yang lebih muktabar bagi menyokong penulisan tafsir ini. Tafsir ini amat sesuai dibaca bagi memahami al-Qur’an kerana olahan yang baik bagi memudahkan para pembaca memahami maksud tafsiran sesebuah ayat al-Qur’an. Penerbitan buku ini dikendalikan oleh DBP sepenuhnya termasuk editorial dan reka letak.

Tafsir al-Maraghiy  (15 jilid): Tafsir ini dibahagikan kepada 15 jilid lengkap yang merangkumi 30 juzuk al-Qur’an. Penulis tafsir ini, iaitu al-Marhum Shaykh Ahmad Mustafa al-Maraghiy, ialah Profesor Syariah Islam dan Bahasa Arab. Tafsir ini telah diusahakan penterjemahannya oleh Muhammad Thalib, manakala kerja penyuntingan serta penerbitannya oleh Syarikat Multi Excellence Productions (MEPS). Tafsir ini diterbitkan pada tahun 2001. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Pusat Pungutan Zakat dan Permodalan Nasional Berhad telah menyumbang pembiayaan penerbitan tafsir ini. Tafsir in dimulai dengan mukadimah penerangan mengenai tafsir dan kaedah penulis mentafsirkan al-Qur’an. Dalam Tafsir al-Maraghiy, penulis mengemukakan pentafsiran surah demi  surah dengan menjelaskan maksud perkataan dan huraian.

Fiqh dan Perundangan Islam Jilid 1-8: Buku Fiqh dan Perundangan Islam ini ialah terjemahan daripada buku al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, yang terdiri daripada lapan jilid, karya Dr. Wahbah al-Zuhaili. Buku ini merupakan sebuah karya agung zaman ini tentang ilmu fiqh dan perundangan Islam yang bersifat ensiklopedik. Ia mengandungi keseluruhan aspek tentang fiqh yang bermula daripada persoalan taharah, ibadat, muamalat, dan juga persoalan perundangan yang merangkumi aspek undang-undang jenayah, wasiat, undang-undang keluarga, undang-undang kontrak dan lain-lain. Buku iniditerjemahkan oleh panel penterjemah yang dilantik oleh DBP, dengan  kos penterjemahan dan penyuntingan dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia  (YPEIM). Buku ini terbit secara berperingkat-peringkat bermula dari tahun 1994 sehingga tahun  2011, dan diulang cetak sebanyak lima kali.


Sejarah Tamadun Islam Ibn Kathir (al-Bidayah wa al-Nihayah): Karya agung ini ditulis oleh Ibn Kathir, tokoh ilmuwan Islam yang hidup pada kurun ke-8 hijrah. Karya yang mengandungi 14 jilid ini menghuraikan sejarah permulaan pemerintahan umat yang lalu dari zaman Arab jahiliyyah, zaman khulafa’ al-Rashidin, Umawiyah, Abbasiyah sehinggalah zaman keruntuhan kerajaan Abbasiyah. Bahagian akhir kitab ini mengutarakan persoalan hari akhirat, hari kebangkitan, serta kisah-kisah yang memberikan panduan dan nasihat untuk menjadi manusia yang bertakwa. Kerja penterjemahan dan penerbitan buku ini diusahakan oleh Syarikat Multi Excellence Productions (MEPS) dan dibiayai sepenuhnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diterbitkan pada tahun 2005.

Muhammad: Ensiklopedia Sirah(8 jilid): Ensiklopedia ini merupakan karya terjemahan daripada buku yang bertajuk Muhammad SAW Encyclopaedia of Seerahyang ditulis oleh Afzalur Rahman dan diterbitkan oleh Muslim Educational School Trust. Ensiklopedia ini memaparkan pelbagai tema kehidupan yang bersandarkan sirah Nabi Muhammad SAW.

Ensiklopedia Ekonomi Islam (2 jilid):Buku ini ialah karya terjemahan daripada buku bahasa Arab yang ditulis oleh Dr. Muhammad Abdul Mun‘im Al-Jamal. Penterjemah buku ini ialah Salahuddin Abdullah.  Cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 1992, manakala cetakan kedua pula pada tahun 2000. Buku ini membincangkan kekuatan, keutamaan, keunggulan sistem ekonomi Islam dan matlamat utamanya. Seterusnya disusuli dengan huraian tentang ekonomi Islam, iaitu yang berkaitan dengan bidang kewangan umum dengan tujuan menjalinkan hubungan yang erat antara sistem ekonomi Islam sebagai ilmu induk dengan sistem yang lahir dalam pelbagai bentuk ilmu pengetahuan moden sekarang. 

Ensiklopedia Islam (5 jilid): Ensiklopedia ini ialah karya adaptasi daripada bahasa Indonesia yang bertajuk Ensiklopedi Islam Jilid 1-5terbitan PT Ichtiar Baru Van Hoeve, Jakarta. Ia mempunyai 5 jilid dan diterbitkan pada tahun 2004. Cetakan kedua pula pada tahun 2006. Ensiklopedia ini membincangkan Islam dari pelbagai aspek yang merangkumi syariah, sejarah, kebudayaan, politik, ekonomi dan lain-lain. Ensiklopedia ini sangat sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat yang ingin mengetahui gambaran yang tepat tentang Islam, dan mengungkapkan Islam dari perspektif umat Islam.  Buku ini dikomisikan kepada  Makmal Grafik Sdn. Bhd.
Penutup
Pelaksanaan secara serius program penerbitan buku-buku Agama dan Tamadun Islam DBP telah menjangkau melebihi tiga dekad. Dalam menerbitkan buku-buku Agama dan Tamadun Islam, sebagai sebuah agensi penerbitan kerajaan, DBP tidak hanya meletakkan keuntungan komersial sebagai matlamat utamanya, malah perlu memberi tumpuan terhadap peranannya dalam melaksanakan dan menyokong dasar-dasar dan program kerajaan.  Justeru, penerbitan buku-buku agama dan tamadun Islam oleh DBP dalam pelbagai bidang memperlihatkan kepekaan DBP dengan kehendak kerajaan dan masyarakat. Perkara ini terpancar daripada judul-judul yang diterbitkan. Melalui penerbitan buku karya asli, terjemahan dan adaptasi, DBP turut berperanan membantu membina kemahiran dan kepakaran penulisan dan penerbitan dalam kalangan ilmuwan dan kakitangan badan penerbitan lain melalui sesi bimbingan yang berterusan.
Kelangsungan DBP sebagai sebuah badan penerbitan kerajaan turut dilestarikan melaui strategi kerjasama pintar dengan pelbagai agensi awam dan swasta. Dalam hal ini, DBP turut membantu menjana ekonomi penerbit lain melalui kerjasama penerbitan dan dana PIBN yang diuruskan.
Sebagai sebuah agensi bahasa dan persuratan Melayu pula, DBP perlu lebih teliti dalam menerbitkan buku-bukunya, kerana antara matlamat penerbitan DBP ialah mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu. Sehubungan denga itu, aspek kualiti kandungan diberi perhatian yang serius. Penerimaan terhadap buku-buku agama dan tamadun Islam terbitan DBP diakui oleh pelbagai pihak hasil daripada prosedur penerbitan yang melalui peringkat penilaian yang dikawal sejak dari proses pembinaan manuskrip lagi.  Namun demikian, dalam melaksanakan program penerbitannya, DBP seperti juga penerbit lain tidak dapat lari daripada cabaran isu semasa dan isu-isu lain yang berkaitan. Antaranya, sebahagian penerbit yang dilantik kurang serius dari aspek editorial dan pengeluaran. Malah, ada penerbit yang wujud semata-mata kerana adanya program pengkomisian DBP. Hal ini menyebabkan DBP perlu memberikan tumpuan yang lebih terhadap aspek bimbingan sehingga menjejaskan jadual penerbitan. Malah, ada penerbit yang gagal menyiapkan projek penerbitan yang dikomisikan kepada mereka. Manuskrip yang disalurkan kepada DBP untuk mendapatkan dana PIBN juga didapati banyak yang tidak mencapai tahap dan kualiti yang digariskan dan terpaksa ditolak. Selain itu, DBP turut menerima kesan daripada peningkatan inflasi dan kemerosotan ekonomi semasa. Kos sara hidup yang tinggi, kemerosotan  daya beli masyarakat dan agensi yang berkaitan, serta pengurangan peruntukan tahunan yang dialami oleh DBP dan agensi-agensi lain menyebabkan DBP perlu menilai kembali sebahagian program penerbitan yang dirancang.

Leave a Reply

ms_MYBahasa Melayu