Perutusan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, pada tahun ini kita dapat menyempurnakan Persidangan Buku Antarabangsa dan Majlis Anugerah Buku Negara bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia 2015. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) atas kesudian mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penganjur bersama Persidangan Buku Antarabangsa 2015 yang berlangsung pada 25 – 27 November 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Persidangan Buku Antarabangsa 2015 yang bertemakan “Semarak Anugerah Memangkinkan Industri Buku, Memartabatkan Karya Berkualiti dan Mengiktiraf Karyawan” sememangnya bertepatan dengan peranan DBP bagi meningkatkan mutu dan memperbanyak jumlah penerbitan buku untuk memenuhi kepustakaan ilmu, di samping memperkasakan usaha pembinaan bakat penulisan. Persidangan ini amat signifikan bagi membantu kita memfokuskan hala tuju industry perbukuan negara yang sudah tentu relevan dengan hasrat Malaysia untuk merealisasikan pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Sehubungan dengan itu, tema anugerah yang diangkat pada persidangan kali ini dilihat amat penting kerana Anugerah Buku Negara menjadi penanda aras dan puncak pengiktirafan kepada karyawan atau peserta industri perbukuan, sekali gus mengangkat dan menyemarakkan industry yang merupakan antara teras utama bagi pembinaan ketamadunan sesebuah negara bangsa yang tinggi akal budi dan jati dirinya.
Sementara itu, persidangan yang menjadi gelanggang pertemuan untuk para peserta industri, yang terdiri daripada kalangan penulis, editor, ilustrator, penerbit, pemasar buku, kedai buku, pustakawan, penyelidik dan peminat serta pembaca buku, diharapkan mampu mengeratkan kerjasama persuratan dan perbukuan bagi mewujudkan landskap industri perbukuan yang lebih berwibawa dan gah di mercu kecemerlangan.
Ekspo Buku Malaysia yang berlangsung serentak dengan Persidangan Buku Antarabangsa merupakan medan yang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh penggiat industry perbukuan dengan mengambil bahagian secara lebih komprehensif untuk mempromosikan karya yang berkualiti, sekali gus menjanakan pendapatan yang lumayan kepada industri dan memacu ekonomi negara. Ekspo ini seharusnya menjadi acara besar yang sentiasa dinanti-nantikan oleh peserta industri khususnya dan rakyat Malaysia amnya, yang memberikan lakaran yang penting kepada industri perbukuan negara untuk lebih berdaya saing.