14
Sep
Pengenalan Ekspo Buku Malaysia
Ekspo Buku Malaysia adalah pesta jualan buku terbesar yang menarik minat peserta dari seluruh dunia. Ia anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Universiti Kuala Lumpur UniKL), Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL), dan Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PENTAS) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) industri perbukuan dan industri penerbitan.
Ekspo Buku Malaysia mempertemukan semua sektor dalam penerbitan dan industri berasaskan pengetahuan dalam sesebuah ekspo – Ekspo Buku Malaysia, Persidangan Buku Antarabangsa dan Penyampaian Anugerah Buku Negara.
Sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komunikasi kepada Ekspo Buku ini merupakan satu pencapaian yang tinggi bagi pihak kami. Ekspo Buku Malaysia dibantu oleh pihak media bagi mendekatkan buku terbitan terkini kepada pengetahuan para penulis dan dapat menarik perhatian umum.
Aktiviti Ekspo Buku Malaysia
Ekspo Buku Malaysia diwujudkan bagi mencipta sebuah tradisi. Kami ingin mewujudkan peluang kepada penggiat industri buku termasuk penulis, penerbit, penjual buku, kontraktor jualan langsung (bagi buku ensiklopedia), pembangun digital e-book dan peneraju buku persekolahan untuk mengambil bahagian dan memainkan peranan hingga ke peringkat seterusnya.
Kami turut membuka minda kepada orang awam termasuk guru, ibu bapa, profesional terutamanya dalam sektor pendidikan untuk hadir dan mengunjungi ekspo ini. Dalam ekspo ini pihak penerbit dan penulis dapat berinteraksi secara langsung dengan orang awam yang cintakan buku.
Kami juga ingin mencari individu dan organisasi yang layak menjadi duta dalam industri ini. Beberapa pelopor utama industri buku dan aktivis yang berkelayakan akan diiktiraf. Setakat ini hanya sedikit anugerah atau hadiah yang ditawarkan. Persatuan kami adakalanya terlepas pandang untuk menguar-uarkan kepada pihak yang sememangnya sudah lama dalam industri ini. Ini disebabkan mereka kurang menonjolkan diri dan lebih suka kurang dikenali ramai.
Mereka adalah penulis dan penerbit yang sebenar. Bagi mereka, biarlah hasil kerja mereka itu akan memberitahu tentang usaha yang dilakukan. Pencapaian peribadi tidak terlalu dikira selagi mereka mahu terus menulis dan menerbit. Penggiat buku yang baharu masih perlu banyak belajar. Tanpa sebarang pengiktirafan kepada pelopor, bagaimana penggiat buku baharu boleh tahu dan dapat mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya.
Tanpa bukti yang kukuh dan sejarah sebagai asas, kita akan menjadi persatuan yang tidak bersyukur. Ibarat menyimpan angan-angan tentang sesuatu tanpa mengetahui cerah-gelap masa hadapannya. Bagaimana untuk mendapat pengiktirafan tanpa memberi pengiktirafan kepada yang lain untuk kali pertama. Tanpa salah satu, kita akan jadi lebih mementingkan diri dan angkuh – tiada lagi sikap mengambil berat dalam masyarakat. Menguar-uarkan kejayaan yang dicapai oleh pencapaian yang lalu adalah rahsia kejayaan untuk membina sesebuah tamadun.