Welcome

National Book Development Foundation
13
Dec

PENGHASILAN KARYA ILMIAH: ANTARA TUNTUTAN KERJAYA DAN TANGGUNGJAWAB AKADEMIK?

PENGHASILAN KARYA ILMIAH: ANTARA TUNTUTAN
KERJAYA DAN TANGGUNGJAWAB AKADEMIK?
Oleh:
Wan Suhaimi Wan Abdullah
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS),
UTM Kuala Lumpur

Karyawan Arab ada menyebut maksudnya: “Tidak aku baca apa yang aku tulis semalam kecuali aku akan persoalkan; kenapa aku tulis ini dan tidak itu, mengapa aku susun sebegini dan tidak sebegitu …”. Kenyataan ini antara lain menunjukkan bahawa manusia biasanya tidak akan berpuas hati dengan apa yang pernah dihasilkannya. Manusia bukanlah makhluk yang sempurna. Pandangan dan penilaian untuk kedua kalinya, sama ada oleh penulis sendiri mahupun oleh pembaca lain, biasanya akan menampakkan aspek-aspek kekurangan dalam penulisan tersebut yang seterusnya boleh dijadikan panduan untuk mengemaskinikan hasil karya tersebut. Sikap sebegini dilihat sebagai antara faktor kenapa karyawan-karyawan ulung di zaman kegemilangan Islam berjaya menghasilkan karya-karya agung yang tidak ditelan zaman[1].


[1] Sebagai contoh Imam Malik, pangasas mazhab Maliki dalam bidang feqah, setelah selesai menghasilkan karya agungnya al-Muwatta’ meminta sebilangan tokoh-tokoh ulama feqah zamannya untuk menyemak karya tersebut. 

Demikianlah tradisi yang ada dan didokong oleh para ilmuwan Islam zaman berzaman. Tradisi ini masih diusahakan keberterusannya oleh segelintir ilmuwan semasa, kalaupun bukan semuanya, yang sedar akan tanggungjawab memperjuang dan menghidupkan ilmu dan kefahaman yang tepat dan benar serta menyebarkannya dengan hasil pena mereka. Karya-karya ilmuwan sebegini biasanya tidak jemu ditelaah oleh pembacanya, bahkan mereka senantiasa menanti-nantikan kemunculan penerbitan karya terkini ilmuwan-ilmuwan tersebut. Siapa yang tidak mengetahui misalnya reputasi keilmuwan dan karya-karya Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Wan Mohd Nor Wan Daud dari tokoh-tokoh di Malaysia, atau tokoh seperti Yusuf al-Qaradawi, Seyyed Hossein Nasr dan Muhammad `Imarah dari luar Malaysia. Masing-masing mereka ini ada peminat dan pendokong tersendiri.

            Berbalik kepada topik perbincangan di sini, mungkin boleh dilontarkan kembali apa sebenarnya dorongan dan tradisi berkarya yang ada dalam dunia ilmu dan keilmuwan kini? Para ilmuwan kini, yang mana penulisan dan penghasilan karya bermutu dan bermisi—yang sememangnya dan sepatutnya menjadi tanggungjawab bahkan kewajiban mereka—apakah mereka masih berfahaman dan mendokong tradisi pengkaryaan di atas, sekurang-kurangnya bagi mereka yang dalam bidang Pengajian Islam? Atau apakah mereka kini sudah mula kabur dengan tradisi ini ekoran pelbagai perkembangan polisi dan kekeliruan hala tuju yang banyak mengubah persepsi para pengkarya kini? Apakah polisi “Publish or Perish[1] atau tuntutan


[1] Hetzel dalam komennya tentang ungkapan ‘Publish or Perish’ menyebut: “Although no one seems to recall who coined the phrase Publish or Perish to describe the assertion that a university or even college teacher will not be promoted within the system of American higher education unless he conducts original research and proves his capabilities by publishing, the words have provided scholars and their publishers with an unparalleled opportunity to defend the fauth”, Hetzel. F.A. (1973), Publish or Perish, and the competent manuscript. Scholarly publishing, (2), 101-102 sebagaimana yang dinukilkan dalam Internet Public Library: FARQs. Htm (4/28/2004). 


KPI di universiti sahaja yang diambilkira dan menghantui para ilmuwan dalam aktiviti pengkaryaan mereka kini? Apakah polisi yang memaksa ini, yang turut mengandung unsur-unsur ugutan, yang akhirnya mengundang fenomena berlumba-lumba menerbitkan penulisan yang hebat dari segi kuantiti dan hiasan kulitnya tapi hambar dari segi kualiti isinya, fenomena menerbitkan makalah dalam jurnal-jurnal luar yang dinilai hanya para kuantiti petikan dan bukan kualitinya, fenomena pensyarah yang hanya bersemangat dan bermati-matian berkarya sebelum memperolehi M.A. dan PhD, sebelum menjawat jawatan ‘Profesor Madya’ atau ‘Profesor’ dan seterusnya bersara dari menyumbangkan hasil penanya setelah mencapai gelaran tersebut? Kesan dan akibat negatif dari polisi dan gejala sebegini memang benar dalam banyak keadaan. Namun, pastinya ini bukanlah satu-satunya persepsi, fahaman dan akibat yang secara langsung lahir dari polisi dan gejala di atas. Sebaliknya, aspek positif dari isu ini patut dibahaskan dengan mengetengahkan persoalan tanggungjawab pensyarah dalam berkarya dan bukannya isu ‘ugutan’ perjawatan. Ini di samping perbincangan tentang masalah hakiki yang dihadapi oleh para ilmuwan dalam aktiviti berkarya. Dengan itu sikap yang lebih adil boleh diketengahkan dalam dilemma sebegini, supaya nanti motivasi untuk berkarya tidak dimatikan oleh polisi-polisi yang sempit, dan dalam masa yang sama misi dan kualiti karya dapat dijamin, tanpa sangat memperhitungkan kuantitinya.
Tanggungjawab Ilmiah Dalam Berkarya
Apabila seseorang itu menceburi bidang dan alam ilmu serta memilih profesyen pensyarah sebagai kerjayanya atau berminat untuk menjadi penulis, salah satu niat mulia yang sepatutnya ditanam ialah untuk mendokong dan mengembangkan bidang ilmu pengetahuan yang dikuasai jika dia adalah seorang pensyarah, atau menyebarkan mesej-mesej tertentu melalui penulisan jika dia seorang penulis. Misi ini sememangnya tidak dapat direalisasikan melainkan dengan mendalami dan mengikuti perkembangan semasa ilmu atau isu serta masalah-masalah berkaitan secara berterusan, turut serta dalam perbincangan ilmu melalui penyelidikan dan seminar, seterusnya mendokumentasikan hasil dapatan terkini untuk ditelaah oleh ahli dan penuntut yang terpanggil untuk turut menyertai perkembangan ilmu tersebut[1].


[1] Lihat tentang elimen-elimen dan faktor-faktor penting dalam gerakan dan aktiviti penulisan dalam Hamid Tahir, ‘Harakat al-Ta’lif fi al-`Alam al-`Arabi al-Mu`asir’, dalam Dirasat `Arabiyyah wa Islamiyyah, No. 5, 1986, h.48-51, seterusnya disebut sebagai Harakah.

Demikian, proses ini berterusan dari satu generasi ke generasi dan keberterusan inilah yang akan memastikan bidang ilmu tersebut tetap relevan dan terus bertahan dalam persada intelektual manusia. Apa yang penting disedari di sini ialah pada setiap peringkat dan proses di atas sama ada di peringkat mendalami ilmu pengetahuan, menyertai perbincangan ilmu, mahupun mendokumentasikan hasil dapatan, semuanya melibatkan hasil karya dan pengkaryaan. Ini secara jelas menunjukkan betapa pengkaryaan dan hasil karya adalah suatu yang asasi dalam proses mendokong dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan ia adalah suatu tanggungjawab ilmiah yang perlu ditunaikan oleh setiap ilmuan demi ilmu itu sendiri dan bukan semata-mata kerana penyahut ‘ugutan’ dan tuntutan perjawatan.

Dalam tradisi Islam, aktiviti penulisan, pendokumentasian dan pengkaryaan bermula seawal kedatangan Islam. Latar belakang kebudayaan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang terkenal dengan tradisi pengkaryaan dan penulisan syair dilihat sebagai antara hikmat kenapa al-Qur’an diturunkan dalam ungkapan dan bahasa yang tinggi dan unik mengalahkan koleksi-koleksi syair di zaman Jahiliyyah[1]. Walaupun secara


[1] Sudah menjadi tradisi bangsa Arab di Semenanjung Tanah Arab ketika itu mengagung-agungkan karya-karya sastera bermutu yang dihasilkan oleh para penyair. Karya-karya hebat sasterawan Arab seperti `Amr al-Qays, Zuhayr dan al-Nabighah diberikan pengiktirafan dengan menggantungnya di Kaabah untuk tatapan ramai, lihat Jurji Zidan, Tarikh Adab al-Lughat al-`Arabiyyah, Kaherah: Dar al-Hilal, t.t., J. 1: h. 91-116. Walau bagaimanapun, setelah al-Qur’an diturunkan ternyata keagungan karya-karya ini bukan sahaja tidak mampu mengatasi al-Qur’an, sama ada dari aspek bahasa mahupun kandungannya, malah untuk menyamainya pun tidak mungkin. Al-Qur’an sendiri ada mencabar manusia dan Jin, dengan cabaran yang berterusan sehingga Hari Kiamat, agar didatangkan suatu yang sama dengan al-Qur’an jika mereka tidak meyakini bahawa al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah SWT dan bukannya karya Nabi Muhammad s.a.w. Ini jelas dalam ayat Surah al-Isra’, (17: 88) yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk mendatangkan yang serupa al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat mendatangkan yang serupa dengan dia, sekalipun sesetengah mereka menjadi pembantu bagi sesetengah yang lain” dan Surah Yunus, (10: 38-39) yang bermaksud: “Atau (patutkah) mereka mengatakan: ‘Muhammad membuat-buatnya (iaitu al-Qur’an)’. Katakanlah: ‘Kalau benar apa yang kamu katakan itu, maka cubalah datangkan sebuah surah seumpamanya dan panggillah sesiapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah jika kamu orang-orang yang benar”.

umumnya tradisi awal Islam lebih menekankan tradisi hafazal di mana al-Qur’an dan Hadith dinukilkan secara lisan berasaskan hafazan, namun perkembangan selanjutnya menuntut catatan bertulis diusahakan[1]. Pengamatan terhadap ayat-ayat al-Qur’an yang pertama diturunkan yang memperkatakan tentang ‘baca’ dan tentang ‘pengajaran melalui pena’[2], seterusnya jika dikaji tentang bagaimana arahan pencatatan dan penulisan al-Qur’an


[1] Lihat kenyataan al-Ghazali tentang kedudukan dan keperluan mempelajari seni tulisan dalam konteks kefarduan menuntut ilmu amnya dalam ‘Kitab al-‘Ilm’ dari Ihya ‘Ulum al-Din, Jeddah: Dar al-Minhaj, 2011, j.1: h. 65.
[2] Dalam Surah al-`Alaq, (96: 1-4), Allah SWT berfirman maksudnya: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantara pena”.

oleh Rasulullah s.a.w.[1]serta tradisi pendokumentasian hadith-hadith Nabi oleh para Sahabat r.a.[2], semua ini menampakkan peri pentingnya penulisan dan pengkaryaan dalam ilmu dan ia secara langsung menyokong kenyataan bahawa penulisan, pendokumentasian dan pengkaryaan adalah tanggungjawab yang tidak patut diabaikan dalam menjamin keberterusan dan penyebaran ilmu pengetahuan. Hal ini juga terbukti dari fakta


[1] Lihat tentang sejarah pencatatan, pengumpulan dan penulisan al-Qur’an misalnya dalam Manna` al-Qattan, Mabahith fi `Ulum al-Qur’an, Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1998, cet. 23, h. 118-134.
[2] Lihat tentang tradisi pendokumentasian hadith-hadith Nabi s.a.w. yang dilakukan oleh para Sahabat r.a. dalam Muhammad Mustafa al-A`zami, Studies in Early Hadith Literature, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 2000, chapter 2-3.

sejarah dan tinggalan warisan karya-karya agung ilmuwan Islam sepanjang zaman dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang sehingga kini masih penting dan relevan untuk bacaan dan renungan generasi demi generasi, bukan sahaja oleh masyarakat Islam namun turut diakui oleh para orientalis Barat[1].


[1] Sekadar menyebut contoh beberapa nama pengkarya agung dalam sejarah keilmuan Islam, kita dengar tokoh-tokoh seperti al-Ash`ari, al-Baqilani, al-Juwayni, al-Ghazali dan al-Razi dalam bidang akidah atau ilmu kalam, al-Malik, al-Syafe`i, Abu Hanifah, Ibn Hanbal dan al-Nawawi dalam bidang feqah, al-Tusi, al-Qushairi, al-Rumi dan Ibn `Arabi dalam bidang tasawuf, al-Tabari, al-Baidawi, Ibn Kathir dan al-Suyuti dalam bidang tafsir al-Qur’an, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmidhi dalam bidang hadith, Ibn Miskawayh dan Ibn Khaldun dalam bidang sejarah, al-Farabi, Ibn Sina, al-Biruni, Ibn Haitham, Abu Bakr al-Razi, al-Khawarizmi dan Ibn Rushd dalam pelbagai bidang falsafah dan sains.

Kesemua paparan penjelasan, fakta dan bukti yang dikemukakan di atas sememang dan sepatutnya cukup untuk memandu persepsi para pensyarah dan ilmuwan Islam kini ke arah memahami dan menampilkan aspek positif dalam tradisi penulisan ilmiah sebagai tanggungjawab dan cabaran ilmiah[1], bukannya sebagai ugutan dan tuntutan perjawatan semata-mata.


[1] Haji Khalifah dalam muqadimah kitabnya Kashf al-Zunun ada menggariskan bahawa pengkaryaan dan penulisan boleh dibahagikan kepada tujuh kategori; pertama, mengemukakan suatu yang belum pernah dikemukakan sebelum ini; kedua, menyempurnakan apa yang kurang sebelum ini; ketiga, memperjelaskan apa yang tak jelas; keempat, meringkaskan apa yang panjang meleret tanpa menjejaskan kandungan asasnya; kelima, menghimpunkan segala maklumat yang bertaburan; keenam, menyusun kembali maklumat yang tidak tersusun dan ketujuh, memperbetulkan sebarang kesilapan dalam karya-karya terdahulu, dinukilkan dari Hamid Tahir, Harakah, h. 56.

Masalah Hakiki Alam Pengkaryaan Akademik
Perbincangan bahagian pertama di atas mendedahkan setidak-tidaknya betapa penulisan dan pengkaryaan itu penting dan tidak patut diabaikan oleh mana-mana individu yang bergelar pensyarah dan ilmuwan. Walaupun begitu, matlamat akhir yang seharusnya terhasil ekoran dari kesedaran ini agak sukar direalisasikan. Namun, sebagaimana yang dinyatakan di awal perbincangan, memang diakui terdapat individu-individu ilmuwan yang sedar dan berjaya membuktikan betapa aktiviti penulisan dan pengkaryaan mereka bukanlah berasaskan tuntutan perjawatan semata-mata namun lahir dari keikhlasan dan tanggungjawab ilmiah yang tinggi. Bagi golongan ini, yang peratusannya amat kecil berbanding jumlah pensyarah dan ilmuwan yang menghuni universiti dan institusi ilmu di Malaysia, mereka juga pasti ada masalah dan halangannya tersendiri. Aspek inilah yang akan cuba dibicarakan dalam bahagian kedua perbincangan ini, iaitu aspek masalah hakiki alam pengkaryaan akademik.

            Secara amnya, masalah hakiki alam pengkaryaan akademik ini pada hemat penulis boleh dibahagikan kepada dua bentuk masalah; masalah yang berkait langsung dengan diri ilmuwan itu sendiri dan masalah yang melibatkan pihak lain selain dari pengkarya.

Masalah pertama di atas berkait rapat dengan persediaan ilmu pengetahuan, intelektual dan motivasi ilmuwan itu sendiri. Masalah ini tiada jalan penyelesaiannya melainkan dengan inisiatif ilmuwan berkenaan mempersiap dan memperlengkapkan diri mereka dengan segala keperluan dan persediaan asas tersebut. Persediaan dari aspek motivasi pastinya tidak menjadi masalah sekiranya kesedaran yang diketengahkan dalam perbincangan bahagian pertama di atas dapat dipastikan dan dihayati oleh setiap ilmuwan. Manakala aspek ilmu dan intelektual, bukan hanya sekadar kelulusan ilmiah M.A. dan Ph.D., ia juga sepatutnya dimiliki oleh setiap pensyarah dan ilmuwan kerana itu adalah antara syarat asas untuk mereka digelar ‘Sarjana’ dan ‘Ilmuwan’. Mereka setidak-tidaknya perlu mempunyai cukup potensi untuk digilapkan walaupun mungkin tidak semua mampu atau bersedia mengusahakannya secara konsisten.

Manakala masalah kedua yang melibatkan pihak selain ilmuwan, ia lebih sukar diatasi. Isu yang biasa timbul di sini antaranya adalah; siapakah yang akan menerbitkan hasil pena akademik ilmuwan itu? Penerbit yang bagaimanakah yang sepatutnya menerbitkan hasil pena ilmiah sebegini? Apakah kriteria penerbit yang baik? Apakah neraca bagi sesuatu manuskrip itu dipertimbangkan untuk penerbitan? Siapakah yang sepatutnya menilai dan memperakui kelayakan sesuatu karya itu diterbitkan? Siapakah sasaran pembaca yang ditujui? Apakah pendekatan perbincangan, metode, gaya bahasa, kualiti kertas dan solekan kulit karya yang akan diterbitkan?
Banyak persoalan timbul berkaitan masalah kedua ini dan kesemuanya tidak mungkin dapat diperkatakan secara terperinci di sini. Namun, dua perkara dari isu-isu di atas dirasakan amat perlu diketengahkan dalam usaha mengurangkan dilemma pensyarah dan ilmuwan yang berkarya terutama dalam konteks setempat. Pertama isu berkaitan penerbit dan kedua ialah isu kualiti dan penilai hasil karya yang akan diterbit.

            Penerbit dan pengkarya mempunyai hubungan yang unik. Penerbit yang berorientasi komersial semata-mata tidak mungkin berada pada landasan yang sama dengan ilmuwan pengkarya yang berwawasan jelas dalam karyanya. Begitu juga pengkarya yang menyediakan hasil pena hanya untuk matlamat pemasaran penerbit tidak akan mampu memenuhi misi asalnya dalam berkarya, iaitu untuk mendokong penghayatan dan perkembangan ilmu pengetahuan[1]. Oleh yang demikian, amat beruntung kiranya dapat diwujudkan penerbit yang tahu menilai ilmu atau ilmuwan yang mampu mengawalselia dan menerbitkan sendiri penerbitan yang bermutu. Ini akan mengurangkan dilemma pengkarya yang ikhlas dan serius serta mampu memperbetulkan sikap penerbit yang sepatutnya berperanan dalam penyebaran ilmu. Berdasarkan hakikat ini, penerbit-penerbit universiti tempatan atau badan-badan penerbit rasmi yang bertanggungjawab membangun dan membina pemikiran tinggi masyarakat yang sepatutnyamemiliki kriteria ini patut berusaha memperkukuhkan reputasi mereka sebagai penerbit jenis ini dan berusaha dalam masa yang sama menarik dan meyakinkan pengkarya-pengkarya yang baik dan serius untuk turut bersama mereka. Para penerbit kelompok ini perlu berbeza dengan penerbit lain kerana pelaburan penerbit sebegini perlu memfokuskan kepada PELABURAN ILMU demi pulangan pembangunan intelektual bangsa, dan bukannya PELABURAN WANG demi pulangan wang semata-mata. Fenomena di mana para akademia tempatan tidak lagi begitu berselera menerbitkan hasil karya mereka di penerbit-penerbit universiti tempatan


[1] Lihat tentang hubungan psitif pengkarya dan penerbit serta peranan yang sepatutnya dimainkan oleh penerbit dalam Hamid Tahir, Harakah, h. 48-50.

menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan reputasi penerbit-penerbit universiti tersebut.
            Di samping itu, persoalan kualiti dan tatacara penilaian sesuatu hasil karya perlu dikemaskinikan. Apakah neraca yang sepatutnya digunakan? Persepsi yang kita ketahui kini—khususnya dalam konteks WABAK UNIVERSITI MENGEJAR PENARAFAN ANTARABANGSA kini—ialah bahawa penerbit luar negara sentiasa atau umumnya dianggap lebih baik dan lebih ‘antarabangsa’ berbanding penerbit dalam negara. Artikel yang disiarkan dalam jurnal yang dikategorikan sebagai antarabangsa dianggap lebih berautoriti dari jurnal tempatan. Karya dalam bahasa asing dianggap lebih hebat dari karya berbahasa ibunda. Penulis-penulis dari luar kadang-kadang lebih disanjungi hatta dalam bidang-bidang milik sendiri seperti bidang kesusasteraan, sejarah dan ilmu-ilmu Melayu dan Islam. Neraca-neraca ini, di samping tidak begitu objektif nilainya dan penuh dengan kerenah-kerenah yang tidak sihat[1], ia boleh mempengaruhi gerakan pengkaryaan ilmuwan tempatan. Hakikat bahawa sesetengah karya-karya dari luar, yang dihasilkan oleh penulis-


[1] Lihat artikel oleh Brad Harrub dan Bert Thompson, ‘The Politics of Publish or Perish’ dalam http://www.apologeticspress.org/inthe news/2003/itn-03-1.htm dan Margot Finn, ‘Publish, Don’t Perish: Submitting Research Articles to Refereed Journals’ dalam http://www.margonfinn,publish,dn’tperish.htm

penulis luar, yang banyak yang mengelirukan dari segi fakta dan kandungannya[1]patut dijadikan dorongan dan inspirasi ke arah mengusaha dan memantapkan penerbit-penerbit tempatan yang sememangnya mampu menjamin kualiti kandungan dan persembahan lahiriahnya. Tambahan lagi, kualiti zahir yang dikemukakan oleh penerbit luar tidaklah begitu hebat berbanding hasilan yang mampu dihasilkan oleh penerbit tempatan, bahkan tidak dinafikan bahawa ada penerbit-penerbit tempatan yang mampu menghasilkan kualiti zahir yang setanding dengan kos yang lebih murah.
Seterusnya, persepsi-persepsi negatif terhadap keupayaan penerbit-penerbit tempatan dan bahasa ibunda sebagai medium karya ilmiah tahap tinggi patut dinilai dan diperbetulkan. Apatah lagi, jika dilihat pada tujuan yang paling terutama kita berkarya adalah demi umat dan bangsa kita sendiri, jadi usaha merealisasikan tujuan sebegini adalah agak sukar sekiranya bangsa sendiri terpaksa membayar dengan harga yang mahal


[1] Para penulis biasanya tidak mampu keluar sepenuhnya dari latarbelakang kehidupan dan budaya setempat. Oleh yang demikian, dalam bidang-bidang seperti pengajian Melayu dan Islam, fahaman dan tafsiran yang dikemukakan oleh ‘orang luar’ jarang menepati apa yang sebenarnya berlaku dan dilalui oleh bangsa dan masyarakat asalnya. Hasilnya jika fahaman dan tafsiran ‘orang luar’ yang dihidangkan untuk tatapan pembaca kita, dibimbangi bukan sahaja masalah sebenar umat tersebut tidak dapat ditangani sewajarnya, bahkan kekeliruan baru yang tidak pernah wujud atau terfikir, yang dikemukakan hasil sejarah dan latarbelakang asing, memburukkan lagi keadaan.

untuk memiliki dan memahami hasil karya bangsanya yang diterbit di luar negara dalam bahasa asing[1]. Faktor ini juga mempengaruhi sikap dan minat membaca di kalangan masyarakat umum yang sehingga kini masih di tahap membimbangkan, tahap yang sama sekali tidak akan membantu perkembangan kemajuan bangsa dan negara yang diimpikan. Fenomena ini juga memberi kesan langsung kepada industri penerbitan dan tidak akan menggalakan lagi aktiviti pengkaryaan.
Kesimpulan
Penghasilan karya sebagai suatu mekanisme pendokongan dan penyebaran ilmu pengetahuan bukanlah suatu yang mudah diusahakan, namun kepentingannya tidak dapat dinafikan. Kuantiti dan kualiti sumbangan ilmiah yang serius adalah pengukur kemajuan ilmu dan intelektual sesuatu bangsa. Oleh itu, apapun persepsi yang dikaitkan dengan polisi ‘Publish or


[1] Sebagai penjelasan suka dinyatakan bahawa ramai di kalangan ahli-ahli akademik Islam, samada dari kalangan berbangsa Melayu mahupun bukan Melayu, yang bertungkus lumus melakukan penyelidikan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti-universiti di Barat menerbitkan hasil kajian mereka di sana. Kesannya masyarakat tempatan jarang mendapat manfaat dari penyelidikan dan penerbitan tersebut kerana tidak mengetahui tentang penerbitan tersebut atau jika diketahui sekalipun harganya adalah terlalu mahal dan agak sukar memperolehinya.

Perish’ atau ‘Paksaan KPI’ yang umumnya menghantui para akademia kini, tidak sepatutnya menjadi alasan dan halangan kepada mana-mana ilmuwan untuk terus menyumbang pemikiran dalam pelbagai bentuk penulisan, selagi mana mereka sedar akan tanggungjawab hakiki mereka dalam bidang ilmu. Segala halangan, samada yang berkaitan persepsi mahupun realiti, hendaklah diusahakan pembasmiannya agar ia tidak mengganggu kelicinan perjuangan memartabatkan ilmu dan membangunkan intelektual ummah. Pensyarah khususnya perlu bermotivasi menggilap potensi ilmiah dan intelektual yang dimiliki dan patut meletakkan sekurang-kurangnya suatu sasaran minimum untuk menyumbang kepada kemajuan bidang ilmu yang dikuasainya dan menyalurkan dapatan positifnya untuk pembangunan ummah. Ini semua akan dapat disalurkan antaranya melalui penulisan dan pengkaryaan.

Leave a Reply

en_USEnglish