Selamat Datang

Yayasan Pembangunan Buku Negara
13
Dec

Pengharaman Buku Islam: Antara Kawalan dengan Kebebasan

Pengharaman Buku Islam:
Antara Kawalan dengan Kebebasan

                                                                Jeniri Amir

Pengenalan

Buku diterbitkan dan diharamkan atas pelbagai sebab dan tujuan. Buku diterbitkan sebagai wadah untuk menyebarkan dan memulihara ilmu dan fikiran. Buku mengembangkan dan memperluaskan ufuk intelektual dan memberi pencerahan kepada banyak misteri kehidupan, alam, kewujudan manusia dan bidang ilmu. Buku digunakan untuk mendidik manusia demi kemajuan dan survival bangsa. Hakikatnya,kemajuan bangsa dan negara bergantung kepada kepesatan penerbitan buku. Jumlah buku yang diterbitkan menjadi petanda dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Hal ini bukan sahaja meliputi jumlah buku yang diterbitkan serta bidang ilmu yang ditulis, tetapi meliputi pemasaran dan pengedaran buku yang diterbitkan, serta tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat (Md Sidin Mohd Ishak, 1998).

            Langkah dan tindakan mengharamkan buku bukan baru bermula pada abad ini atau dekad ini. Langkah pengharaman sebenarnya  telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu. Dalam sejarah China, zaman ‘Spring and Autumn Period‘ dan ‘Warring States Period‘ muncul banyak ilmuwan, pakar strategi, dan cendekiawan. Zaman berkenaan disifatkan sebagai zaman kegemilangan pelbagai jenis aliran pemikiran dalam memahami  isu dan masalah masyarakat sehingga zaman itu dikenali sebagai ‘Hundred Schools of Thought‘. Namun, apabila Maharaja Qin Shi Huang berjaya menakluk kesemua enam buah negeri pada tahun 221 SM, atas nasihat daripada penasihatnya, Li Si, beliau telah mengorak  langkah pengharaman wacana yang bertentangan dengan falsafah pentadbirannya, iaitu legalisme. Buku-buku yang mengemukakan idea yang bertentangan dengan legalisme telah diharamkan, manakala  460 orang cendekiawan dan ilmuan ditanam hidup-hidup (Hazman Baharom, 2016).

            Daripada 320 juta buku pernah diterbitkan di dunia setakat ini, sebahagiannya telah diharamkan oleh negara tertentu, termasuk Malaysia. Pelbagai sebab buku disekat dan diharamkan penerbitan dan pengedarannya. Antaranya, kerana dipercayai dapat mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, menggugat kedudukan pemimpin politik, mempunyai unsur kelucahan yang melampau, menyentuh isu perkauman dan keagamaan sehingga boleh mencetuskan ketegangan hubungan etnik dan agama,  serta menghasut. Karya yang menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan ajaran agama yang sebenarnya, serta dipercayai menista dan mempersenda agama turut diharamkan.

           Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam laman sesawangnya menyatakan bahawa lebih daripada 1,550 penerbitan telah diharamkan.  Pengharaman tersebut dilakukan atas alasan bahawa penerbitan berkenaan dapat memudaratkan keselamatan awam. Selain KDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengharamkan penerbitan tertentu. Jakim yang turut mempunyai garis panduan untuk penerbitan dan pengharaman buku, biasanya mengharamkan penerbitan yang dianggapnya sebagai melanggar Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahl Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di Malaysia. Buku yang diharamkan meliputi semua genre dan kategori, kreatif dan bukan kreatif, diterbitkan untuk bacaan pelbagai golongan. 

Antara Hak Semula jadi
dengan Hak Perundangan

Berbicara tentang kebebasan dan kawalan secara langsung mengheretkan kita ke dalam perbincangan berkaitan dengan hak semula jadi (natural rights) dan hak perundangan (legal rights). Penulis, pengarang, penerbit, pencetak dan pengedar buku amat memerlukan hak semula jadi dalam kerangka kebebasan bersuara dan mengemukakan pendapat. Tanpa hak kebebasan bersuara, menulis dan mengemukakan pendapat dan fikiran, tentu manusia akan terpenjara di dalam jeriji mindanya. Malah, kesannya amat mendalam terhadap kemajuan fikiran dan bangsa. Survival bangsa dan negara banyak bergantung kepada kemajuan ilmu dan fikiran, dan sebahagian daripada idea dan fikiran berkenaan digagaskan melalui buku.

         Sebaliknya, golongan yang menegakkan hak perundangan seperti kerajaan, jabatan yang diberi tanggungjawab pula berpendirian bahawa masyarakat dan pembaca perlu dikawal kerana kebebasan mutlak hanya akan merosakkan masyarakat  dan negara.  Maksudnya, undang-undang hanya boleh dikenakan terhadap pengkarya  dan penerbit  untuk menyekat kebebasannya menzahirkan perasaan dan fikiran kalau semasa melaksanakan hak berkenaan ia menyinggung dan menjejaskan hak orang lain serta menimbulkan ancaman. Undang-undang dan akta diwujudkan berdasarkan prinsip untuk memastikan pelaksanaan kebebasan tidak melampau batasan. Kawalan bukan hanya melalui undang-undang dan akta, sebaliknya boleh berlaku melalui tekanan hegemoni politik. Sistem dan dasar komunikasi, termasuk penerbitan di negara ini tidak wujud dalam kepakuman, sebaliknya falsafah yang mendasarinya adalah dipengaruhi oleh sejarah, politik, budaya, agama, sistem nilai dan demografi penduduknya.

          Bagi penulis dan penerbit serta pejuang kebebasan bersuara, tindakan dan amalan mengharamkan buku merupakan sejenis kawalan dan pencerobohan terhadap kebebasan bersuara dan menzahirkan pendapat, selain  bertentangan dengan hak asasi. Hak bersuara, menulis dan menerbit dianggap oleh golongan ini sebagai hak semula jadi yang dimiliki oleh setiap individu sejak lahir, dikurniakan oleh Tuhan, tidak bergantung kepada undang-undang, adat, atau kepercayaan mana-mana budaya atau kerajaan tertentu. Ia   merupakan hak yang tidak boleh dipisah atau diubah. Bagi mereka idea dan penerbitan idea dan pemikiran tidak boleh dilarang.  Apa yang boleh dilakukan, idea itu perlu dibahas, diperdebatkan dan diwacanakan.   Hak semula jadi ini dikategorikan di bawah hak kebebasan bersuara  dan kebebasan berpendapat. Hak ini  merupakan satu daripada 30 perkara Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia yang melibatkan setiap negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Malaysia.

           Soal kebebasan bersuara bukannya baharu. Kebebasan dalam konteks penerbitan buku bermaksud, penulis, pengarang dan penerbit boleh menulis dan menerbitkan buku yang patut diketahui oleh pembaca dan masyarakat tanpa perlu memikirkan implikasinya. Sesuai dengan falsafah negara ini dan demografi penduduknya, dengan sebahagiannya beragama Islam, buku yang menyentuh sensitiviti utama Islam dan bercanggah dengan ajaran agama berkenaan amat diberikan perhatian. Kita sebenarnya mengamalkan kebebasan yang terpimpin dalam lingkungan akta dan undang-undang sedia ada. Mesin cetak masih lagi  dikawal, manakala tindakan boleh dikenakan di bawah peraturan oleh Kementerian Dalam Negeri. Buku Islam juga tertakluk kepada garis  panduan dari segi penerbitan agama sesebuah negeri.

               Ilmuan Islam, Abdus Salam al-Basyyouni menyatakan bahawa setiap individu berhak untuk mempunyai pandangan yang berbeza daripada orang lain dan mempunyai jaminan perlindungan ke atasnya terhadap suara luahannya itu. Menyekat sesuatu kritikan atau pandangan yang berbeza daripada pandangan dan pendirian orang lain merupakan pencabulan ketara terhadap hak semula jadi manusia. Implikasinya, para penulis mempunyai hak atau keistimewaan untuk menerbitkan karya (Nur Ain Shahirin Abdul Aziz, 2015).   
          Seharusnya para penulis mempunyai  kekebalan daripada sebarang ancaman yang menghalang penerbitan karya mereka termasuklah daripada badan perundangan.  Wujudnya keistimewaan para penulis dalam mengemukakan pendapat mereka adalah atas dasar pemilikan ke atas hak semula jadi yang dipegang oleh setiap manusia, yang tidak boleh dicabul oleh sesiapa atau mana-mana badan perundangan pun dan ini sekali gus membebaskan mereka daripada sebarang tanggungjawab untuk mematuhi apa-apa bentuk tuntutan yang mencabul hak semulajadi mereka (Nur Ain Shahirin Abdul Aziz, 2015).               
           John Milton, dalam ucapan di Parlimen England bertajuk Areopagitica, yang dibuat dalam konteks kebebasan bersuara yang lebih luas di England, merayu supaya mesin cetak dibebaskan daripada pelesenan, manakala penerbitan dibebaskan daripada penapisan. Katanya; “Berilah aku kebebasan untuk mengetahui, untuk bersuara, dan untuk berhujah secara bebas, menurut rasa hati, mengatasi kebebasan yang lain” (Mohd Safar  Hasim 2005).
            Sebagai sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi, Malaysia turut memberi kebebasan, tetapi kebebasan yang terkawal dan terpilih kepada rakyatnya untuk bersuara, termasuk dari segi penulisan dan penerbitan buku, lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama Islam. Kebebasan berkenaan diperlukan bagi memungkinkan wujudnya pasar bebas maklumat, fikiran dan pandangan asalkan tidak bercanggah dengan akta dan undang-undang yang telah diwartakan. Penerbitan buku Islam dapat membantu umatnya memahami tanggungjawab dari segi fardu ain dan fardu kifayah, selain bidang-bidang lain yang dapat membantu untuk memajukan umat, termasuk dari segi politik, pendidikan, ekonomi, kewangan, teknologi, sains dan sebagainya.

         Kebebasan yang melampau, keterlaluan dan tanpa batasan dianggap boleh merosakkan dan membinasakan masyarakat dan negara. Tidak seperti penerbit akhbar dan majalah yang bersifat berkala, penulis dan penerbit buku tidak perlu memohon permit untuk menerbitkan buku. Namun demikian, setiap buku yang diterbitkan wajib diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) atau perpustakaan negeri berkaitan.

           Bagi pihak berkuasa, pengharaman buku bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam, moraliti, dan  juga penistaan agama. Justeru, mengikut falsafah berkenaan, kebebasan yang diamalkan hendaklah berpandukan kebebasan yang bertanggungjawab, dan bukannya kebebasan tuntas dan mutlak. Penyaringan dan kawalan dilakukan untuk kepentingan politik, agama, moral, dan juga komersial.Hak ini tergolong di bawah perundangan, iaitu kuasa atau  autoriti yang diberikan kepada pihak kerajaan oleh rakyat bagi melindungi hak semula jadi setiap rakyat daripada dicabul.

        Menurut Nur Ain Shahirin Abdul Aziz (2015),   hak perundangan wujud apabila rakyat mengiktiraf sebuah badan kerajaan untuk menjadi sebuah badan autoriti yang berkuasa mengawal individu daripada menyalahgunakan hak semula jadi masing-masing untuk mencabuli hak semula jadi individu lain. Sebaliknya, pihak yang terlibat dalam pengharaman ini sering menggunakan justifikasi bahawa ia merupakan hak perlembagaan untuk menggubal undang-undang atas alasan untuk menjaga ketenteraman masyarakat sivil − memilih definisi masyarakat sivil oleh John Locke sebagai sebuah masyarakat yang memilih berada di bawah kekuasaan legitimasi yang melindungi kesejahteraan mereka serta bertanggungjawab merangka undang-undang untuk mentadbir masyarakat tersebut.
           Pada abad ini dan dekad ini, buku masih lagi diharamkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Tidak ada negara di dunia yang memberi kebebasan mutlak kepada penulis, penerbit dan pencetak untuk menerbitkan karya sesuka hati. Alasan dan justifikasi penyaringan, kawalan dan pengharaman berbeza daripada sebuah negara kepada negara lain. Karya yang menyemarakkan kebencian diharamkan di sebahagian negara termasuk di Sewden meskipun buku yang sama dibenarkan untuk diedarkan di Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, negara yang dikatakan mengamalkan kebebasan, masih mengenakan sekatan terhadap buku, baik oleh pihak sekolah atau perpustakaan awam meskipun ditentang keras oleh Persatuan Perpustakaan Amerika. Di perpustakaan seperti British Library dan Library of Congress, buku erotik ditempatkan di koleksi atau bahagian khas.
        Di Malaysia, penyaringan dilakukan  terhadap hampir semua jenis karya seni dan sastera, termasuk filem, drama, akhbar, majalah, dan buku. Negara ini telah mengharamkan lebih 100 filem dalam tempoh sedekad lalu atas nama moraliti dan akhlak. Banyak akhbar diharamkan sehingga kedudukan kita dari segi kebebasan  pada 2016 berada pada tangga 146 daripada 180 negara menurut Worldwwide Press Freedom Index oleh Reporters Without Borders. Mengikut indeks berkenaan, kebebasan diberi indeks antara satu hingga tujuh, dengan  satu paling bebas dan tujuh paling terkawal. Malaysia diberi markah empat mata untuk hak politik dan kebebasan awam.  
         Golongan  yang berpegang kepada teori liberalisme bertegas dengan pendirian supaya buku, termasuk buku Islam tidak diharamkan. Mereka berhujah pihak berkuasa, termasuk KDN dan  Jabatan Kemajuan Islam (Jakim)  jika merasakan bahawa buku tersebut mengancam akidah, buatlah wacana untuk mendapat hujah  dan wacana tandingan.  Maksudnya, wacana dan wacana tandingan terutama melalui buku dan perbincangan perlu dipupuk dan digalakkan seuai dengan hasrat mahu mewujudkan rakyat yang berfikiran analitis dan kritis. Mereka berpendirian bahawa mengharamkan buku dan sebarang karya hanya akan menutup ruang ke arah wacana intelektual. Selain mematikan intelek rakyat, pengharaman buku juga akan melambatkan pencerahan rakyat (Hazman Baharom, 2012).         
        Sebagai akibatnya, menurut Hazman, ia boleh mendatangkan beberapa kesan, antaranya masyarakat tersebut akan gagal keluar daripada ‘zon selesa’, yang akhirnya menjadikan masyarakat tersebut gagal mencapai kemajuan fizikal, intelektual, dan spiritual. Pengharaman buku  adalah sia-sia pada zaman internet dan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat kerana manusia masih boleh mengakses buku-buku tersebut melalui internet atau berkongsi melalui laman-laman sosial.

         Hanya golongan yang dapat membaca karya-karya yang diharamkan sahaja yang mampu membawa idea dan pemikiran untuk  dibahaskan dan diperdebatkan. Pengharaman buku, biasanya dilakukan atas rasional untuk mengelakkan mudarat yang besar, akhirnya menjadi penyebab kepada mudarat yang lebih besar lagi. Immanuel Kant, dalam adikarya beliau, Was Ist Aufklärung berpendapat bahawa kebebasan merupakan prasyarat terpenting untuk masyarakat menjadi tercerah dan berani berfikir.

          Sebarang percanggahan dan pertentangan  pendapat seharusnya ditangani dengan pendekatan balas yang sama, dengan matang dan berhikmah.  Dalam hubungan ini, Mohd Asri Zainal amat bimbang pendekatan yang dibuat oleh KDN mengharamkan buku-buku yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik oleh mereka. Tindakan sedemikian menurut beliau kemungkinan boleh menjuruskan negara kepada sikap antiakademik, jumud dan tidak terbuka. Tindakan berkenaan bukanlah pendekatan yang dapat membantu untuk membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu (Berita Benar, 1 Jun 2016). 

           Pengharaman buku oleh badan-badan kerajaan atas nama autoriti bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah penerbitan tanah air. Bermula dengan Mao Tse-Tung Yang Agong Ada-lah Gilang Gemilang sebagai karya sulung yang diharamkan pada 1971, sehingga kini jumlah buku yang diharamkan oleh KDN telah mencecah lebih 1500, tidak termasuk buku-buku yang diharamkan oleh badan-badan kerajaan lain, seperti Jakim.

         Isu pengharaman buku amat berkait rapat dengan persoalan hak dan kebebasan apabila DKT Liberty Project yang giat mempertahankan hak dan membela kebebasan rakyat Amerika Syarikat menjadi salah sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab mendanai Banned Books Week pada tahun ini. Malah, sejak 1982, telah diadakan “Banned Books Week”  susulan peningkatan mendadak buku disekat di sekolah, kedai buku dan perpustakaan di Amerika Syarikat. Menurut Persatuan Perustakaan Amerika, lebih daripada 11,300 buku telah dicabar dan dikawal.

Garis Panduan Kementerian Dalam Negeri dan Jakim 

Di bawah garis panduan penerbitan, Kementerian Dalam Negeri menurut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kawalan meliputi aspek berkaitan bahan yang memudaratan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kepentingan awam dan kepentingan negara. 

Hasil penerbitan tak diingini dari segi agama, termasuk menyebarkan ajaran salah, menyeleweng atau mempersendakan agama Islam dan agama-agama lain yang diamalkan di Malaysia. Penerbitan yang menggemparkan fikiran orang ramai merujuk kepada karya dan penerbitan yang diperbesar-besarkan, digembar-gemburkan, atau yang mengelirukan dan menimbulkan salah faham. Perkara-perkara yang dilarang di bawah garis panduan berkenaan termasuk isi kandungan yang menyentuh sensitiviti keagamaan, penggunaan bahasa yang lucah, kasar dan kesat, serta sebarang bentuk karya atau nukilan yang secara jelas atau kiasan mengenai perlakuan seks. Juga, menganjurkan cara hidup bebas di luar batasan agama dan peradaban masyarakat seperti memaparkan cerita-cerita berkesedudukan, penzinaan, homoseksual, dan sumbang mahram.

          Yang turut dilarang ialah ruangan soal jawab seks yang terperinci dan bukan berbentuk ilmiah kecuali dalam penerbitan khusus untuk kesihatan dan perubatan, tetapi bukannya keterlaluan. Selain itu, cerita-cerita misteri dan mistik yang bercanggah dengan akidah Islam juga turut dilarang. Garis panduan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 juga melarang penerbitan agama selain daripada agama Islam menggunakan istilah-istilah khusus agama Islam, iaitu Allah, Baitullah, solat, dan Kaabah kecuali bagi menerangkan istilah-istilah berkenaan. Juga, penerbitan berkenaan tidak mengandungi penulisan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan selain daripada bahasa Arab. Larangan dari segi gambar pula adalah berkaitan dengan ilustrasi, lukisan, lakaran dan seumpamanya wajah para nabi dan Rasul, para malaikat, empat orang Khulafar-Rasyidin serta isteri para Nabi dan Rasul.

            Menurut Seksyen 8 dan subseksyen 2 Akta  Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, adalah menjadi kesalahan untuk mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengedar atau memilki penerbitan larangan dan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan.  Mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau didenda tidak melebibhi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

         Selain daripada garis panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri di atas, sesuai dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, pihak Jakim juga mengeluarkan panduan berkaitan penerbitan, iaitu Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam. Garis panduan itu menekankan bahan yang diterbitkan tidak mengandungi perkara yang menyentuh kesucian Islam, tidak mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah, tidak mempersendakan dan mempersoalkan kewibawaan sumber hukum Islam yang utama, iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias. Bahan berkenaan tidak boleh bercanggah dengan pegangan Mazhab Ahli Sunah Wal-Jamaah, tidak bertentangan dengan fatwa atau pendapat Jumhur Ulama, tidak mengandungi unsur Israiliat, khurafat dan kebudayaan karut, serta tidak menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam. Garis panduan berkenaan turut menekankan, bahan terbitan tidak mengandungi penulisan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan selain daripada bahasa Arab, tidak menyalahi fakta sejarah, dan tidak mengilustrasikan gambar-gambar para Nabi, Sahabat yang Empat, malaikat serta memperwatakkan gambar-gambar tersebut.
         
         Bagi negeri-negeri tertentu pula, ia mempunyai peraturan tertentu. Bagi negeri Pulau Pinang, misalnya di bawah subseksyen  48(3) dan (4)  Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004, bukan Islam di Semenanjung tidak dibenarkan menggunakan kalimah atau perkataan seperti berikut dalam penerbitan, iaitu : Allah, Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Qadhi, Illahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi, Sheikh, Khutbah, Tabligh, Akhirat, Azan, Al Quran, As Sunnah, Auliya, Karamah, Syahadah, Baitullah, Musolla, Zakat Fitrah, Hajjah, Taqwa” dan Soleh.

Pengharaman terhadap karya sastera

Karya sastera turut tidak terlepas daripada diambil tindakan oleh KDN. Penulis novel tempatan, Faisal Tehrani  merupakan penulis yang karyanya banyak diharamkan oleh KDN.   KDN mengharamkan lima judul buku karya Faisal, iaitu Perempuan Nan Bercinta terbitan ITBM,  Sebongkah Batu Di Kuala Berang  terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd, Karbalaterbitan Abeerden Books World, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah, kedua-keduanya terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.    
      
             KDN  telah mewartakan perintah larangan terhadap novel Perempuan Nan Sebatang mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan bahawa segala hasil penerbitan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh negara.  

          Menurut KDN, novel  itu diharamkan bagi bagi menghalang cubaan menyuntik propaganda Syiah menerusi karya kreatif yang mungkin menyasarkan golongan akademik dan remaja. KDN berkata, ia mungkin boleh mendatangkan implikasi negatif dengan mengelirukan pegangan syariat (Ahli Sunnah Wal Jamaah) umat Islam di negara ini dan memberi implikasi serius dari sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam. Kata KDN, pertembungan dua aliran antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah juga dikhuatiri dapat mencetuskan ancaman keselamatan dan ketenteraman umat Islam. 
 
          Novel itu dikatakan mengandungi unsur-unsur yang mempertikai dan memperlekeh hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan seolah-olah mendiskriminasi kaum wanita. Novel Perempuan Nan Bercinta  bagi KDN turut didapati mendewa-dewakan Ahlul Bait secara berlebihan dan menafikan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai mazhab yang diterima. Malah, KDN menjelaskan terdapat cubaan membawa hadis palsu berkenaan keutamaan Ahlul Bait seperti yang terkandung di dalam kitab-kitab Syiah. Golongan yang dikatakan tidak mengikut Ahlul Bait (seolah-olah ajaran Syiah) sebagai golongan yang diragui. Wujud unsur seolah-olah ajakan menentang pihak berkuasa Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan alasan kebebasan bermazhab.

          KDN berkata, larangan penerbitan novel tersebut bertepatan dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 5 Mei 1996. Di dalam muzakarah tersebut telah diputuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Muzakarah juga menetapkan semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam dan hukum syarak yang berasaskan pegangan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. KDN menegaskan setiap penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem mahupun video berhubung ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan (Utusan Malaysia, 2 Mei 2014). Berkaitan empat lagi judul lain karya penulis berkenaan yang diharamkan, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri Hasmimah Nik Jaafar dilaporkan berkata buku-buku itu dikenakan Perintah Larangan Penerbitan berkuat kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan. 
 
        Bagi penulisnya, Faisal, pengharaman itu adalah perkembangan sihat kerana sastera Melayu ketika ini berada dalam keadaan suram di sebalik pelbagai sayembara dianjurkan bagi memulihkan keadaan itu.  Kata Faisal; “Ini adalah rahmat besar di bulan Rejab. Saya yakin akan mendapat lebih ramai pembaca baru.”  Faisal yang sudah menulis lebih daripada 20 novel dengan sinis “menyambut baik” langkah KDN mengharamkan bukunya-bukunya.   Bagi penulisnya, amat payah untuk orang membuktikan terdapat “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan” dalam buku berkenaan. Sebabnya, ramai yang tidak tahu, drama ‘Karbala’  pernah disiarkan  dalamDewan Sastera, terbitan DBP dari Disember 2006 sehingga Julai 2007. Dalam reaksinya, Faisal berkata: “Seingat aku lapan bulan drama itu tersiar, tidak ada rusuhan berlaku. Lapan bulan adalah satu tempoh agak lama. Ada orang berjimak, hamil, kandungannya membesar dan beranak awal ketika usia kandungan itu lapan bulan.” Anehnya, karya dalam bentuk buku diharamkan pada April 2015, iaitu  sembilan tahun selepas pertama kali diterbitkan.

        Bagi penulisnya, Faisal, pengharaman itu adalah perkembangan sihat kerana sastera Melayu ketika ini berada dalam keadaan suram di sebalik pelbagai sayembara dianjurkan bagi memulihkan keadaan itu.  Kata Faisal; “Ini adalah rahmat besar di bulan Rejab. Saya yakin akan mendapat lebih ramai pembaca baru.”  Faisal yang sudah menulis lebih daripada 20 novel dengan sinis “menyambut baik” langkah KDN mengharamkan bukunya-bukunya.   Bagi penulisnya, amat payah untuk orang membuktikan terdapat “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan” dalam buku berkenaan. Sebabnya, ramai yang tidak tahu, drama ‘Karbala’  pernah disiarkan  dalamDewan Sastera, terbitan DBP dari Disember 2006 sehingga Julai 2007. Dalam reaksinya, Faisal berkata: “Seingat aku lapan bulan drama itu tersiar, tidak ada rusuhan berlaku. Lapan bulan adalah satu tempoh agak lama. Ada orang berjimak, hamil, kandungannya membesar dan beranak awal ketika usia kandungan itu lapan bulan.” Anehnya, karya dalam bentuk buku diharamkan pada April 2015, iaitu  sembilan tahun selepas pertama kali diterbitkan.

          Anehnya, buku berkenaan turut dibeli oleh Perpustaakan Negara Malaysia di bawah dana untuk penulis dengan tunjuan untuk memajukan dan mempelbagaikan karya terbitan di dalam industri perbukuan negara. Selain itu, dana tersebut diwujudkan bagi menunjukkan komitmen Perpustakaan Negara Malaysia dan penglibatan jabatan dalam membantu perkembangan industri perbukuan negara khususnya kepada golongan penulis tempatan. Justeru,  bukan sahaja penulis menyifatkan pengharaman tersebut sebagai tindakan yang aneh, tetapi juga pembaca dan masyarakat pada amnya.  Sebab, bagaimana buku boleh diharamkan dengan tidak semena-mena setelah sembilan tahun.
 
        Bagi Faisal, alasan yang dibuat  bahawa beliau menerapkan unsur-unsur Syiah, termasuk dalam drama Karbala adalah satu lagi usaha mentololkan khalayak.  Dengan memetik Saidina Ali dalam Nahjul Balaghah,bahawa ‘An-Nas a’da’u ma Jahilu’; ‘Manusia selalu memusuhi apa yang dia tidak benar tahu.’ Mengapakah beliau menulis drama ‘Karbala’?  Aku pernah mendengardakwaan segelintir sarjana kita yang dalam agama Islam tidak ada sebarang bentuk seni persembahan teater.

           KDN turut mengharamkan karya penulis luar, The Satanic Verses karya Salman Rushde. Buku ini disambut baik oleh pengulas buku di United Kingdom, dan tercalon sebagai finalis Hadiah Booker 1988. Bagaimanapun, novel itu mencetuskan kontroversi hebat dalam kalangan umat Islam kerana didakwa banyak berisi kekufuran.  Akibat kontroversi makin meluas, buku ini diharamkan di beberapa negara, termasuk di Malaysia, dan dibakar ketika  tunjuk perasaan di United Kingdom. Pada bulan Februari 1989, berikutan rusuhan ganas yang menentang buku ini di Pakistan, pemimpin agung Iran, Ayatolah Khomeini  yang juga seorang ilmuan Syiah mengeluarkan  fatwa yang menyeru semua umat Islam yang beriman agar membunuh Rushdie dan pihak penerbitnya, atau menyerahkan beliau kepada sesiapa yang boleh membunuhnya sekiranya mereka tidak berupaya melakukannya sendiri.

          Karya itu membangkitkan kemarahan penganut agama Islam kerana disifatkan sebagai menghina Nabi Muhammad SWT. Novel tersebut menggambarkan Nabi Muhammad sebagai orang yang rendah akhlaknya dan dipanggil dengan nama jahiliah, Mahound. Nama-nama isteri baginda digunakan untuk mernamakan pelacur dalam novel berkenaan. Manakala al-Quran dinista dan dinyatakan bukan wahyu Allah SWT. Novel itu mencetuskan ketegangan hubungan kaum dan agama di Pakistan, India dan England.

Banyak Buku Islam diharam

             Pada 2006, sebanyak 56 penerbitan diharamkan oleh KDN, termasuk terjemahan buku Indonesia karya Charles Darwin, On The Origin of Species. KDN turut mengharamkan Bibledalam bahasa Iban, kerana mengandungi kalimah “Allah Ta’ala”, namun pengharaman itu telah ditarik balik.  Pada 2008, Sisters in Islam (SIS) terkejut apabila buku terbitannya turut diharamkan. Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism, ialah suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menurut KDN, buku itu dilarang kerana “mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya”. 

          KDN turut  mengharamkan  buku karya seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterbitkan oleh Sisters-in-Islam (SIS) pada 2008.  SIS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang dianggotai sekumpulan wanita profesional beragama  Islam yang memperjuangkan  hak-hak wanita  dalam islam . SIS menekankan pentingnya untuk mentafsir semula  al-Quran dan hadis  mengikut konteks sejarah dan budaya. Buku-buku itu dilarang kerana “mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya”. Buku terbitan SIS berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.

         Buku setebal 215 halaman itu memuatkan 10 bab hasil karangan beberapa pemikir wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah. Norani, bertindak sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pertama yang dijadikan judul buku berkenaan. Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).

        Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif berkata, sebuah lagi buku yang diharamkan bertajuk Pelik Tapi Benar Dalam Solat karya Abdul Rahman Mohamed. Kedua-dua buku berkenaan dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (25 jan 2010). Walau bagaimanapun,  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  menarik balik pengharaman buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism‘ yang dikuatkuasakan lebih setahun setengah.

            Ia diharamkan oleh kementerian dalam negeri pada 31 Julai 2008 atas alasan ia boleh mengugat ketenteraman awam. Ia juga dikatakan boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam, khususnya wanita. Dalam penghakimannya, petang tadi, hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata dia gagal melihat bagaimana buku berkenaan boleh menganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa. Buku berkenaan berada di pasaran sejak 2005 tetapi hanya diharamkan pada 2008. Lagipun, hanya tujuh daripada 215 muka surat yang didakwa boleh memudaratkan. Norani berkata penghakiman itu adalah berita baik bagi kebebasan berakademik. Buku itu tidak menyentuh prinsip Islam tetapi mengenai undang-undang keluarga Islam dan undang-undang jenayah Syariah. Hampir separuh daripada 3,000 berkenaan telah terjual sebelum ia diharamkan.

        Buku Pelik Tapi Benar Dalam Solatyang dikeluarkan oleh Telaga Biru menurut Mohd Asri Zainal (2008) tidak mempunyai perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau al-Sunnah, bahkan penulisnya mengemukakan alasan-alasan ilmu yang dipegangnya. Mufti Perlis  itu menyifatkan alasan pengharaman buku-buku oleh KDN sebagai lambang “sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat moden” dan “zaman kegelapan” Eropah. Alasan-alasan pengharaman yang hanya menyebut ‘boleh mengelirukan orang ramai’, lalu sesebuah buku diharamkan amat tidak munasabah (Malaysiakini, 10 Oktober 2008).  Bagi beliau, mungkin ada beberapa perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana dalam perkara-perkara yang disebutkan itu, tapi bukan bercanggah dengan prinsip Islam. Beliau mahu pihak terbabit saya mengemukakan bukti secara ilmiah bertulis bukan ‘main cakap sahaja’. Kata beliau; “Tanpa mengira siapa pun panel yang telah mereka lantik. Ilmu tidak diukur dengan jawatan tetapi fakta dan angka. Kalau panel berkenaan mahu buku mengikut kehendak mereka, merekalah yang tulis. Hak penulis mengemukakan alasan-alasannya. Dalam Islam, selama mana ia tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, biarlah dunia ilmiah itu bercambah.”

         Menurut Mohd Asri lagi, kecenderungan mengharamkan bahan-bahan akademik atau ilmiah tanpa alasan yang konkrit boleh merosakkan percambahan ilmu. “Jika manusia yang hendak dihukum pun dimestikan untuk dikemukakan alasan yang cukup, apakah boleh bahan ilmiah yang menjadi keperluan asas manusia dihukum tanpa alasan yang jelas? Apakah kita ingin negara menuju ke zaman gelepan gereja yang menghukum apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan?” Lebih daripada itu, menurut beliau lagi, adakah negara yang ingin maju seperti Malaysia perlu mengharamkan bahan ilmiah hanya kerana tiada selaras dengan selera KDN? Kalau begitu, katanya,  kita sedang mundur ke belakang, bukan sedang membina modal insan. Namun, beliau bersetuju mungkin ada buku yang boleh diharamkan, tetapi perlu dikemukakan alasan ilmiah.

                 Satu lagi buku yang turut diharamkan oleh  KDN ialah karya tulisan Irshad Manji bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi bahasa Inggeris Allah, Liberty and Lovekerana  kerana kandungannya dikesan boleh mengganggu sensitiviti Islam, serta mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya ‘boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.’ Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Antaranya, pandangan terhadap perkahwinan campur antara Muslim dan bukan Muslim sebagai sesuatu yang harus dan pemahaman ini boleh menjurus kepada pluralism. Buku itu juga mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang digambarkan dalam keadaan yang boleh mencemar kesucian agama Islam. Selain itu, buku berkenaan juga mempertahankan fahaman sekularisme dengan mencampuradukkan dengan nilai-nilai akidah. Ia turut memberikan penerangan terhadap pelaksanaan kewajipan solat fardu lima waktu yang boleh didirikan dalam pelbagai pergerakan dan bahasa malah lebih dari lima kali sehari. Kenyataan itu menurut KDN boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam terhadap kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu. Buku ini juga menyeru kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan penolakan konsep ijmak yang dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-hadis (Bernama, 24 Meri 2012).

              Dalam kes berkenaan, sebuah kedai buku di Bangsar  diserbu jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan  ia telah merampas buku-buku berkenaan.  Pembantu kedai buku Borders telah ditahan dan didakwa kerana ‘menyebar dan mengedar’ buku berjudul Allah, Liberty and Love.
 
            Tiga buku lagi, iaitu Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syi’ah dan Tafsir Sufi al-Fatihah diharamkan penjualannya di Malaysia  pada 2012 kerana  dianggap  menyebarkan fahaman Syiah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan kerajaan memandang serius penyebaran ajaran Syiah di negara ini kerana  bertentangan dengan ahli Sunah Wal Jamaah. Buku hasil tulisan Murtadha Muthahhari, A. Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat dari Indonesia itu diharamkan oleh KDN sejak awal Mac 2012. Pada 25 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman Syiah di negara ini. Sebanyak 35,000 buku dan risalah yang diharamkan KDN ditemui. Buku-buku ini diserahkan kepada KDN untuk diwartakan (Utusan Malaysia, 30 Mac 2012).  
   

          KDN turut mengharamkan 12  buku yang disifatkannya mengandungi unsur yang dapat mengancam keselamatan awam dan moralit pada 2014.  Menteri Dalam Negeri Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berkata pengharaman itu selari dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.  Buku yang diharamkan Akhirnya Ku Temui Kebenaran karya Dr Muhammad Al-Tijani Al-Samawi/terjemahan oleh  UIA Islamic Studies Group, Agama Politik Nalar Politik Islam (Ahmad Vaezi/Ali Syahab), 99 Wariat Imam Ja’far Ash-Shadiq Lentera Ilahi (Imam Ja’far Ash-Shadiq/Rahmani Astuti), Saling Memberi Saling Menerima (Sayyid Mahdi As Sadr /Ali Bin Yahya), Fatwa-Fatwa 2 Soal-Jawab Seputar Muamalah Ahlulbair (Ayatullah Al-Uzhma Imam Ali Khamenei/Mubsin Labib). Teladan Abadi Ja’far Shadiq Sang Mahaguru (Husain Nahrawi), Teladan Abadi Hasan Askari Tumpuan Kaum Papa (M.Ilyas & Hasan Al-Habsyi), Teladan Abadi Husain Syahid (Abdullah Beik).Fatimah Az-Zahra’ & 9 Keturunannya Yang Mulia (Tarikuddin Bin Haji Hassan), Imamul Muhtadin Ali Bin Abi Thalib (H.M.H Al-Hamid Al-Husaini), Meniti Titian Kebenaran (Khair Izzah) dan Memories Of Muhammad: Why The Prophet Matters (Omid Safi) (Bernama, 4 Feb2014).         

      Sepanjang 2015, sebanyak 42 tajuk buku telah diharamkan oleh KDN, iaitu 20 judul  bahasa Inggeris dan 22 judul dalam bahasa Melayu. Ini termasuk karya Kassim Ahmad bertajuk Jalan Yang Lurus: Kita Harus Meneroka Jalan Ini.

        Keputusan oleh makhamah memberi kuasa kepada jabatan agama negeri berkenaan untuk mengawal selia penerbitan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Bagi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) keputusan mahkamah berkenaan akan memberi kausa kepada jabatan agama negeri dalam mengawal penerbitan dan pengedaran buku agama Islam di negara ini. Hal ini, menurut laporan itu, akan menjadi penghambat bagi kebebasan bersuara berkaitan dengan percetakan dan penerbitan di Malaysia, selain kawalan dilakukan oleh KDN.

         Kini, penulis, penerbit dan pencetak perlu lebih berwaspada terhadap kuasa yang turut dimiliki oleh beberapa badan agama negeri untuk menghukum mereka di bawah kesalahan jenayah Syariah. Perkara ini diperkukuhkan lagi melalui kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membuat kenyataan di Parlimen bahawa penerbitan Islam yang menyeleweng daripada ajaran agama Islam sebenar akan dirujuk kepada Jakim.

         KDN turut  mengharamkan tiga judul buku berunsur Islam kerana isi kandungan yang disifatkannya sebagai mengelirukan dan mungkin memudaratkan orang awam. Antara buku tersebut ialah Perukonan Romanise, Siri Pahlawan Islam Bilal Bin Rabah dan Hadith Pilihan Shahih Bukhari. Mengikut portal KDN, tarikh perwartaan pengharaman itu adalah pada 18 Ogos 2015. Perukonan Romanise karangan Norain H Muhammad diterbitkan H Hashim H Abdullah dicetak oleh Al Ahmadiah Press (Pte) Ltd berbahasa Melayu. Siri Pahlawan Islam Bilal Bin Rabah karangan Mohamad Fadhil Umar diterbitkan Buku Prima Sdn Bhd dan dicetak oleh Dasae Cetak(M) Sdn Bhd. Hadits Pilihan Shahih Bukhari karangan Ustaz Labib MZ diterbitkan Bintang Usaha Jaya dalam bahasa Indonesia. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Hashimah Nik Jaafar, berkata perintah larangan berkuat kuasa semalam mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

           KDN turut  mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tujuh buku berunsur keagamaan yang boleh memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam, berkuat kuasa 3 November 2015. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar menjelaskan isi kandungan penerbitan berkenaan didapati dapat mengelirukan umat Islam di negara ini. Ia menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan al-Hadith.

           Tujuh buah buku berbahasa Melayu itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal Diri, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mati Sebelum Mati, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Cahaya Di Atas Cahaya dan Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: 7 Petala Langit dan 7 Petala Bumi. Turut dikenakan perintah larangan itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal ALLAH, Pusaka Ilmu Tok Kenali Mengenal ALLAH (Tok Kenali Kelantan) dan Pusaka Ilmu Tok Kenali Mengenal Diri (Tok Kenali Kelantan). Kesemua buku berkenaan diterbitkan  oleh Tujuh Likur Enterprise.  Pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Bernama, 7 Disember 2015).

           KDN  turut mengenakan perintah larangan terhadap empat buku kerana disifatkannya mengandungi unsur bercanggah dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar serta fakta tidak benar mengenai institusi keselamatan negara. Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata buku terbabit adalah Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib, Malaysia And The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic Countries, Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn’t Know And Need To Know To Act dan The Qoran: A Very Short Introduction. Keempat-empat penerbitan itu dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kepentingan awam, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara, katanya. Tiga daripada buku tersebut mengandungi unsur mengelirukan yang boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan amalan agama Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini, manakala sebuah lagi buku jika dibiarkan boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap institusi keselamatan negara, katanya (Bernama, 9 September 2016).

           Pada April 2016, KDN mengenakan perintah larangan terhadap lima penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang boleh mengelirukan umat Islam dan memudaratkan moral. Dua daripada lima penerbitan tersebut – Ajaran Makrifat Syekh Siti Jenar  dan Israk Mikraj: Tinjauan Saintifik Di Sebalik Kontroversi dikenakan perintah larangan kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan mengandungi unsur-unsur yang boleh mengeliru dan merosakkan akidah umat Islam. Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar berkata perintah larangan itu adalah mengikut Warta Kerajaan P.U.(A) 76 dan 77 bertarikh 29 Mac. Tiga lagi penerbitan lain dikenakan perintah larangan mengikut Warta Kerajaan P.U. (A) 85,88, dan 89 bertarikh 4 April 2016.

          Pada November 2016, KDN mewartakan perintah larangan terhadap 21 penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan umat Islam dan memudaratkan moral generasi muda. Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim menjelaskan, dua daripada penerbitan itu dikenakan perintah larangan melalui warta kerajaan bertarikh 4 Julai lepas manakala selebihnya bertarikh 18 Julai. Menurutnya penerbitan terbabit bertajuk Isu Semasa Dalam Risalah: Kahwin Campur Antara Muslim dengan Non Muslim dan Islam and Homosexuality Volume 1, Mencontohi Para Wali, Syi’ar Manifestasi Tuhan Dalam Wanita’, ‘Mereka Adalah Teroris, Ibnu Taimiyah: Rekam Jejak Sang Pembaharu, Kitab Berlian Syahadat, Sejarah Syeikh Abdul Wahab Tuan Guru Babussalaam dan Nabiyyurahmah Min Minzoril Qurani Wa Ahlil Bayt. Penerbitan lain termasuk 1,000 Hikmat, Misteri Alam Arwah: Persiapan Menjelang Ajal dan Kisah-kisah Mayat, Senjata Mukmin, Sabda Rasulullah S.A.W: Mahdi Aku Ada Dua Tanda’. Kissing Cousins? Christians and Muslims Face to Face. Buku yang turut dikenakan perintah larangan ialah What Went Wrong The Clash Between Islam and Modernity in the Middle East, Nomad: From Islam to America A Personal Journey Through the Clash Civilisations, Lesbian Sex Positions, Sexual Intimacy for Women dan The Whole Lesbian Sex Book. (Bernama, Malaysiakini, 24 Nov 2016) .

            KDN  dilaporkan akan menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis bagi menapis dan menyemak hadis demi menjaga kesahihannya. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  menjelaskan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan supaya fungsi penapisan dan penyemakan hadis dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis. Menurut beliau, dua garis panduan sedang disiapkan bagi melaksanakan fungsi kawalan hadis iaitu Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis. Pengawalan hadis oleh KDN bertujuan menjaga kesahihan teks hadis, sekali gus mengawal penyebaran hadis-hadis palsu dalam masyarakat khususnya melalui penerbitan. Pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap penerbitan termasuk kitab-kitab hadis dan buku-buku agama bagi mengawal penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara. Pada peringkat itu, kawalan hadis akan dilakukan dengan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984. Selain itu, usaha jangka panjang perlu dilakukan untuk mewujudkan akta khusus bagi mengawal hadis seperti Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 yang khusus bagi mengawal Al-Quran, katanya.

          Mengenai isu Al-Quran, Ahmad Zahid menegaskan bahawa terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang.  Hal ini selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-24 pada 5 hingga 6 Jun 1989, yang memutuskan bahawa ‘adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan Al-Quran’.

         Sejak akhir-akhir ini, LPPQ telah mengesan terdapat penjualan naskhah Al-Quran yang diimport tanpa kelulusan KDN dan didapati dijual secara meluas termasuk dalam talian. Antara kesalahan yang dikesan pada Al-Quran yang diimport ialah menggunakan tulisan rumi dalam penulisan ayat Al-Quran dan terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab. Bagi memastikan teks Al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan, masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk berhati-hati atau mendapatkan naskhah Al-Quran dengan memastikan naskhah berkenaan telah diperakui oleh LPPPQ (Bernama, 2 Mac 2016).
Tindakan KDN dan badan agama
dicabar di mahkamah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan pengharaman terhadap pengedaran buku berjudul A History Of God: The 4000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam karya Karen Armstrong. Karya yang melonjakkan nama Karen, itu ditarik balik  oleh KDN pada 2014 selepas kejadian pelik pada 2007 (Fathi Aris Omar, 2014).

            Selain itu, pada 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan  KDN melakukan kekhilafan semasa melaksanakan budi bicaranya untuk mengharamkan buku bertajuk Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism dan tindakannya itu tidak sah. Peguam K Shanmuga yang mewakili pertubuhan Sisters In Islam (SIS) sebagai pemohon dalam semakan kehakiman terhadap tindakan pengharaman buku itu oleh KDN berhujah bahawa perintah itu ‘ultra vires’ Seksyen 7 Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, dan tidak selari dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara. 

          Beliau berkata, sekalipun jika responden dianggap memiliki bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah itu atas sebab-sebab yang diberikan, tindakannya dalam melaksanakan budi bicaranya untuk mengeluarkan perintah itu adalah khilaf, dan boleh diketepikan. Pada Ogos 2009,  mahkamah membenarkan permohonan SIS untuk membuat semakan kehakiman terhadap tindakan KDN yang mengharamkan buku yang diterbitkan pada 2005 itu.

         SIS yang mahukan supaya pengharaman itu ditarik balik menamakan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai responden.  SIS mendakwa pengharaman buku itu adalah di luar kuasa Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dan melanggar Artikel 8(2), 10(1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Shanmuga berkata perintah itu dicemari oleh pencabulan terhadap keadilan kerana tiada peluang diberikan kepada SIS dan tiada sebab diberikan semasa buku itu diharamkan. Bagi SIS, pengharaman itu bukan bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam, sebaliknya semata-mata untuk mengelak daripada menghadapi kritikan mengenai cara undang-undang Islam dan sistem pentadbiran undang-undang peribadi Islam dilaksanakan di Malaysia dan antarabangsa  Mahkamah Persekutuan menolak permohonan KDN untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi membatalkan larangan kementerian itu ke atas buku Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremismoleh pertubuhan bukan kerajaan SIS, yang didakwa memudaratkan ketenteraman awam. Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff berkata KDN gagal memenuhi syarat Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendapat kebenaran merayu (Sinar Haria, 14 Mac 2013).

           Mengikut seksyen ini, seorang pemohon perlu meyakinkan Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berkaitan apa-apa kausa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya dan ia melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat awam.


           Terdahulu, KDN, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail, mengemukakan dua isu undang-undang dalam permohonan itu bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mendengar merit rayuan berkenaan. Bagaimanapun, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan perkara itu dengan betul berdasarkan fakta. Beliau berkata permohonan KDN harus ditolak atas alasan isu undang-undang yang dibangkitkan telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan  sebelum itu yang diketuai Datuk Abdul Wahab Patail mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berpendapat dakwaan KDN bahawa penerbitan buku itu memudaratkan ketenteraman awam, tidak disokong bukti yang jelas.

          KDN mengharamkan buku itu pada 31 Julai 2008 dan SIS memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Dis 2008 untuk satu perintahcertiorari bagi membatalkan larangan itu. Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu dan pada 26 Ogos 2009, SIS dibenar memulakan semakan kehakiman. Pada 25 Jan  2010, Mahkamah Tinggi membatalkan larangan KDN ke atas buku itu selepas membenarkan semakan kehakiman. Buku 215 halaman itu, yang diterbit pada Oktober 2005, mengandungi himpunan esei oleh aktivis dan intelektual antarabangsa (Bernama, 2015). 

           SIS mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu yang pada pertimbangan mereka telah melakukan kesilapan. Mereka mendakwa pimpinan teratas dalam negeri tidak sanggup untuk menghadapai kritikan dan sindiran yang terkandung dalam buku tersebut. Tambah mereka lagi, setiap esei kritikan dalam ‘karya agung’ itu mempamerkan hujah-hujah yang bernas dalam usaha untuk membantu memperbaiki sistem perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka mengaplikasikan liberalisme dalam tindakan mereka terhadap segala sesuatu. Jelas di sini kita lihat, alur Islam sebenar ingin diselarikan dengan fahaman liberal yang sememangnya mustahil untuk dilorongkan ke arah pembentukan akidah muslim sebenar.

             Keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada tarikh 5 September 2013 oleh Hakim Datuk Zaleha Yusuf  turut membatalkan pengharaman terhadap terjemahan buku Irsyad Manji Allah, Liberty and Love. Keputusan itu dibuat setelah pengharaman kepada buku terjemahan berbahasa Melayu yang telah berkuat kuasa pada bulan Mei 2012, dan ZI Publications memohon semakan kehakiman atas pengharaman tersebut.  Alasan yang diberikan terhadap pembatalan merupakan buku asli yang berbahasa Inggeris telah berada di pasaran selama setahun sebelum itu, sejak 2011, dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penganut agama Islam. Beliau juga mempersoalkan keputusan pengharaman buku tersebut oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya setelah keluar versi bahasa Melayu.


            Keputusan pengharaman oleh KDN yang diambil atas nasihat Jakim selepas penerbitan dan pengedaran buku bahasa Melayu oleh ZI Publications mengambil kira bahasa Melayu sebagai bahasa nasional dan merupakan lidah rasmi penganut agama Islam di Malaysia. Edaran buku bahasa Inggeris yang pada asalnya hanya mencapai sebahagian kecil masyarakat Malaysia akan dapat diperluaskan sekiranya edisi bahasa Melayu disebarkan dengan mudah dan berleluasa. Tiga tahun kemudian, Mahkamah Rayuan memutuskan  bahawa rampasan buku Irshad Manji oleh JAWI di kedai buku Borders tidak sah dari segi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian. Datuk Zaid Ibrahim melalui kenyataan beliau berkenaan buku terjemahan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan anaknya mengkritik tindakan JAKIM yang mengharamkan tulisan Irshad Manji dalam buku kontrevesi tu.“JAKIM tak ada kuasa untuk haramkan buku pun. Ini masalah menteri yang tak faham tugas. Menteri JAKIM tak ada kuasa haram buku. Menteri Dalam Negeri je ada kuasa!” Zaid Ibrahim (mstar),

             Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh merampas buku-buku kontroversi mengenai Islam, walaupun tanpa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku seumpama itu dalam kes membabitkan serbuan terhadap kedai buku Borders berhubung tindakan JAWI merampas buku tulisan pengarang Kanada, Irshad Manji.   Implikasinya, JAWI boleh mengatasi kuasa menteri dalam negeri dan merampas sebarang buku tanpa arahan dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian tersebut. Menteri Dalam NJegeri dalam afidavitnya menyatakan bahawa walaupun tiada perintah pengharamannya pada hari buku itu dirampas, JAWI mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana buku itu melanggar Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 .

           Katanya, rampasan tersebut boleh dilakukan oleh JAWI di bawah undang-undang berkenaan, tanpa sebarang perintah pengharaman daripada kementerian. Menteri Dalam Negeri telah diarahkan menjawab permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Berjaya Books Sdn Bhd, yang mengendalikan kedai buku Borders, bersama-sama dengan pembantu pengurus  besarnya, Stephen Fung dan pengurus kedai buku Borders di Gardens Mall, Nik Raina Nik Abdul Aziz Nik Raina (kiri) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah atas tuduhan mengedarkan buku Allah, Kebebasan dan Cinta. Berjaya Books telah mencabar kes itu di Mahkamah Tinggi dan menamakan JAWI, Kementerian Dalam Negeri, menteri yang menjaga hal-ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, sebagai responden (Dialog Rakyat 18/9/12)           

         Kassim Ahmad yang menulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula  telah memohon KDN menilai semula perintah larangan terhadap buku tulisan beliau itu pada 2015.Dr Kassim telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya lebih 25 tahun lalu ditarik balik. Hadis: Satu Penilaian Semula diharamkan pada tahun 1986 selepas beberapa bulan diterbitkan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat ia mengandungi fahaman yang bertentangan dengan akidah. Buku itu sebenarnya memperlihatkan cubaan Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik ‘kelemahan’ umum, kelemahan kritikan sanad serta mengetengahkan ‘kontradiksinya’ dengan Quran, sains dan sejarah. Buku  itu mengumpulkan lima siri ceramah berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencetuskan pelbagai reaksi serta dijawab oleh enam buah buku lain.  Kassim positif nasib buku itu akan berubah seiring pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan banyak program transformasi dalam pentadbirannya. “Jadi kita nak tengok balik apa yang kerajaan pimpinan Najib akan buat dengan inovasi dan transformasi yang beliau lakukan ini,” kata bekas tokoh pemimpin gerakan kiri yang pernah sekejap menyertai Umno itu seperti dipetik Malaysiakini.

           Kassim juga menyifatkan langkah KDN merujuk Jakim sebelum memutuskan status buku itu sebagai betul dan “menurut prosedur”. Seandainya penarikan pengharaman itu benar-benar berlaku, Kassim berharap ia akan mencabar generasi baharu yang belum pernah membacanya agar mengkaji semula kedudukan “ulama” dalam struktur masyarakat. KDN mengesahkan ada menghantar surat kepada Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Jakim. Keputusan penarikan balik larangan itu bergantung kepada maklum balas daripada Jakim.  

           Susulan pengharaman buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism terbitannya, SIS telah melancarkan kempen “Jangan haramkan buku” yang bertemakan “haram buku = bakar buku”. Sebanyak  2,000 poskad telah dicetak untuk diedarkan sebagai membantah pengharaman buku berkenaan. SIS  mengumpulkan poskad itu untuk dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.  SIS juga telah menghantar surat kepada KDN untuk meminta penjelasan mengenai buku yang diharamkan itu.

   
             Ternyata, penulis dan penerbit boleh mengambil tindakan tertentu jika karya mereka diharamkan atau disekat daripada beredar di pasaran. Setakat ini, sebagaimana dibuktikan daripada beberapa kes yang dibincangkan, antara langkah yang  boleh diambil oleh penulis untuk menuntut hak mereka dari segi undang-undang adalah dengan membawa kes berkenaan ke mahkamah.  Dengan hujah yang konkrit, penulis, penerbit atau  pengedar boleh mencapai kejayaan atau memenangi kes berkenaan. Penulis juga boleh memohon supaya pengharaman terhadap karya mereka dinilai semula oleh KDN sesudah berlaku perubahan landskap  sosiopolitik dan budaya serta kepemimpinan negara. Bagaimanapun, dalam kes Kassim Ahmad, beliau gagal dalam percubaannya supaya pengharaman terhadap buku beliau ditarik balik. Dalam usaha untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, penerbit dan penulis juga boleh mengadakan kempen seperti yang dilakukan oleh SIS setelah buku terbitannya diharamkan oleh KDN.

Kesimpulan
Pada zaman lambakan maklumat dan perkembangan intelektual, penerbitan buku wajar diberi galakan. Bagi memastikan penerbitan buku dan industri buku tumbuh subur, kebebasan amat perlu diberi kepada pengkarya dan penerbit untuk menerbitkan buku yang bermanfaat kepada pembaca dan masyarakat pada keseluruhannya. Hakikatnya, tindakan mengharmam dan menyekat sebarang terbitan, termasuk buku tidak  lagi relevan. Tindakan berkenaan hanya akan menyebabkan rakyat bersikap antipihak penguasa.

          Pendekatan yang dibuat oleh KDN mengharamkan buku-buku Islam yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik oleh mereka dapat menjuruskan negara kepada sikap antiakademik, jumud dan tidak terbuka. Pendekatan sedemikian tidak membantu menyuburkan pemikiran kritis dan analitis atau membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu, sebaliknya hanya akan membantutkan pemikiran rakyat ketika kerajaan mengambil usaha untuk mewujudkan masyarakat intelektual dan analitis.

          Memang tidak wajar sesebuah buku diharamkan melainkan terbukti mengancam keselamatan negara atau jelas bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah yang dapat mengelirukan umat. Buku tidak harus diharamkan untuk melindungi kepentingan politik atau golongan tertentu. Kita patut meraikan kepelbagaian pemikiran dan tafsiran, selagi tidak menghina Allah SWT dan Rasul-Nya. Alasan bahawa sesuatu tajuk buku diharamkan hanya  dengan menyatakan buku berkenaan boleh mengelirukan orang ramai adalah tidak munasabah pada zaman sekarang ketika pembaca dapat dengan mudah mendapatkan melalui internet.

      Pada waktu yang sama, penulis dan penerbit perlu mengamalkan kebebasan yang bertanggungjawab. Kebebasan tidak hatrus digunakan untuk menyebarkan sesuatu yang bertentangan dengan akta dan undang-undang. Kebebasan tidak harus disalahgunakan untuk menyebarkan sesautu yang bercanggah dengan ajaran islam yang sebenar. Tentu tidak patut bagi mana-mana pengarang dan penerbit untuk menulis dan menerbitkan buku yang dapat mencetuskan ketegangan hubungan etnik dan agama sehingga kemudiannay dapat menimbulkan keadaan huru-hara, dan seterusnya menyebabkan pergolakan sosiopolitik. Penulis dan penerbit perlu memiliki akauntabiliti dan sikap bertanggungjawab terhadap karya yang dilahirkan dan beredar di pasaran. Buku harus digunakan sebagai jambatan untuk mewujudkan masyarakat pelbagai etnik dan agama di negara ini yang lebih aman dan harmoni. Buku Islam perlu dijadikan sebagai obor pencerahan tentang agama berkenaan, bukannya untuk mengelirukan umat.

Rujukan

Bernama. 2014. Home Ministry bans 12 books which threaten public order, morality, Feb 2014.
Bernama. 2016. KDN haram 4 buku seleweng fakta Islam, 9 September.
Fathi Aris Omar. 2014. Jakim antara Ulil Abshar dan Karen. Malaysiakini, 10 Oktober 2014.
Hazman Baharom, 2012. Pengamatan ringkas seputar langkah pengharaman buku. Diakses 4 Dis 2016.
Jimadie Shah Othman. 2008. SIS kempen ‘Jangan haram buku’, 19 Ogos.
Suakam. 2015. Malaysia Human Rights Report 2015. Kuala Lumpur; Suara Inisiatif Sdn Bhd.Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan & Percetakan Buku Melayu 1807-1960. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Asri Zainal. 2008. Dlm. Mufti: Alasan KDN haramkan buku primitif, Malaysiakini,
        10 Oktober.
Mohd Safar Hasim. 2005. Akhbar di Malaysia: Antara Kebenasan dengan Tanggungjawab. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nur Ain Shahirin Abdul Aziz. 2015. Pengharaman Buku: Satu bentuk pencerobohan hak kebebasan. Diakses 1 Disember 2016.
Utusan Malaysia. 2012. Tiga buku sebar ajaran Syiah diharam, 30 Mac.

  

    

Leave a Reply