Prof. Tatiana Denisova Pakar Kajian sejarah Islam Alam Melayu dalam perspektif Orientalis. (Russia)

Profesor Dr. Tatiana A. Denisova, adalah seorang sarjana dari Moscow, Rusia. Beliau memperoleh pendidikan tinggi di Universiti Negeri Saint Petersburg, dan berjaya memperoleh PhD dalam sejarah, membawa kepada pensejarahan dan kajian semula sumber dalam sejarah Islam. Beliau adalah Ketua Bahagian Penyelidikan Sumber dalam Sejarah Islam di Akademi Sains Rusia, Institut Pengajian Oriental. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pengajian Asia & Afrika, Universiti Negeri Moscow sehingga 2006.

Beliau juga pernah berkhidmat di Malaysia sebagai Penyelidik Pelawat (sehingga 2003) dan Sarjana Pelawat dan Sasterawan Pelawat (hingga 2006) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP ), Kuala Lumpur. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai Sasterawan Pelawat (sehingga 2008) di Perpustakaan Negara Malaysia. Kini beliau merupakan Profesor Madya Pelawat di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau telah menghasilkan banyak karya akademik. Bahan terbitannya meliputi lebih 50 judul, tentang sejarah penyebaran Islam di Alam Melayu; Sumber sejarah Melayu-Islam dan metodologi penyelidikannya; warisan sastera Melayu dan lain-lain.