GELOMBANG MEMBACA: MEMBENTUK KOMUNITI PEMBACA

Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim
Setiausaha Agung, Komuniti Bukuonline.org
Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pengenalan

Manusia, makhluk ciptaan Allah, merupakan ciptaan-Nya yang terhebat. Seperti yang disebut oleh Dr. Haron Din, di dalam bukunya Manusia dan Islam: Diberikan kepadanya sifat-sifat khusus untuk membolehkannya menanggung amanah Allah yang tidak tertanggung oleh makhluk-makhluk lain....

Ini adalah disebabkan faktor biologi manusia itu sendiri, yang mempunyai cukup sifat-sifat jasadiah dan rohaniah yang memungkinkan mereka menanggung amanah-amanah yang Allah berikan. Sifat-sifat khusus seperti akal, hati dan nafsu merupakan tiga sifat serentak yang hanya ada pada manusia, tetapi tidak ada pada mana-mana makhluk lain. Amanah yang Allah berikan kepada manusia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Amanah yang tidak termampu ditanggung oleh makhluk-makhluk lain, yang saiznya lebih besar dari manusia itu.

Amanah untuk ‘menjaga’ dunia ini, amanah untuk memakmurkan alam ciptaan Allah, iaitu ‘kewajipan menegakkan agama Allah, Islam, atau kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (Islam) yang diberikan kepada manusia. (Dr. Haron Din). Untuk memastikan manusia berjaya menyempurnakan amanah ini, manusia perlu mempunyai ilmu. Ilmu adalah makanan jiwa, makanan akal dan benteng kepada keterlanjuran nafsu. Ilmu amat diperlukan untuk melengkapkan sifat-sifat Khalifah yang diberikan Allah kepada manusia.

Tanpa ilmu, manusia hanya dipandu nafsu dan menuju kehancuran seperti mana yang telah berlaku kepada banyak kelompok peradaban manusia. Memetik tulisan Prof. Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharudin di dalam bab pengenalan kepada buku Pendidikan Asas Kemajuan Minda dan Material di Johor, yang ditulis oleh Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, terbitan Yayasan Warisan Johor:

"Ilmu pengetahuan yang kita kenal kini terbina melalui kegiatan manusia yang tidak henti berwacana. Mengiringi kegiatan berwacana tersebut adalah pelbagai usaha merakamnya, sama ada dalam bentuk tulisan dan dalam bentuk selainnya. Melalui proses inilah ilmu pengetahuan manusia itu bertimbun-tambah. Keseluruhan proses ini pula diwarnakan oleh pelbagai bentuk kontradiksi, bangkang-membangkang, persetujuan dan bersetuju-tak-bersetuju. Keadaan dan konteks semasa juga amat mempengaruhi keseluruhan proses ini. Dalam perkataan lain, ilmu serta tafsiran mengenai sesuatu himpunan ilmu itu lahir atau dilakukan dalam keadaan yang tidak bebas daripada pelbagai pengaruh. Dengan itu, ilmu itu adalah sesuatu yang hidup dan senantiasa dibincang, disanggah dan ditambah."

Perbincangan ilmu tidak pernah terhenti sejak manusia tiba di muka bumi ini. Malah, memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu....

Tentunya ilmu tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti membaca, mempraktik dan menulis. Ini adalah tiga unsur utama kepada pendidikan. Mustahil bagi seseorang manusia biasa memperolehi ilmu tanpa melalui tiga unsur ini. Membaca bagi penulis bukan pula sekadar membaca buku atau tulisan, malah apabila dilihat dari konteks yang lebih luas, membaca daripada pandangan mata yang terus dihantar informasi itu ke akal dan dihakimi hati juga adalah proses yang penting. Namun tidak semua manusia punyai kebolehan ini. Lantas menjadikan proses membaca tulisan (sama ada dari buku, majalah, akhbar dan sebagainya) sebagai satu proses umum yang boleh dilakukan oleh segenap lapisan manusia. Kerana itulah Al-Quran diturunkan dengan Iqra’ sebagai ayat pertama.

Bacalah. Gelombang Membaca Setiap sesuatu yang tercipta di dunia ini mengeluarkan gelombang, percaya atau tidak, walaupun seketul batu yang kecil. Seperti mana-mana bentuk gelombang sekalipun, ia pasti membawa maklumat bersamanya. Sebagai manusia, kita memang dikelilingi oleh gelombang-gelombang. Seperti gelombang otak, gelombang radioaktif dari bahan-bahan sekeliling, gelombang ciptasemula manusia seperti radio, televisyen, telefon bimbit dan sebagainya.

Setiap gelombang mempunyai sifat dan daya kekuatannya yang tersendiri. Seperti gelombang Alpha yang didapati adalah antara bentuk gelombang yang paling ‘tenang’. Gelombang tsunami yang melanda Acheh pada Disember 2004 pula adalah gelombang “pemusnah” yang terkenal dengan kekuatan hentaman yang belum pernah terjadi sebelum ini. Itu antara secubit contoh gelombang daripada himpunan gugusan gelombang-gelombang ciptaan Allah, Tuhan sekelian alam.

Manakala, gelombang buatan manusia seperti Mexican Wave di stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan, juga mempunyai daya kekuatan dan sifatnya. Mengikut kajian, Mexican Wave memerlukan minimum 7 orang untuk mencetuskan satu gelombang besar di dalam sesebuah stadium. Semakin ramai bilangan individu yang melakukan cetusan Mexican Wave, semakin besar jugalah kebarangkalian gelombang yang terhasil itu lebih kuat dan bertenaga, hingga boleh menyebabkan 100% penonton di stadium melakukan gerakan gelombang tersebut!

Begitu juga dengan usaha untuk mewujudkan Gelombang Membaca, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia. Ia juga perlu mempunyai sifat dan daya kekuatannya tersendiri. Mungkin telah banyak bahan rujukan yang ditulis secara tidak langsung mengenai usaha mewujudkan gelombang ini. Namun begitu, satu usaha yang lebih proaktif dan bersepadu perlu diwujudkan. Persoalannya, bagaimana? Untuk mewujudkan sesuatu gelombang, kita memerlukan daya-daya yang mampu menggerakkan atom-atom sesuatu objek tersebut. Daya-daya itu perlulah mempunyai kekuatan pada tahap tertentu. Tsunami tidak akan terjadi sekiranya tidak ada daya yang menggerakkan atom-atom hidrogen dan oksigen (H2O). Radio tidak akan berfungsi sekiranya suara penyampai radio itu tidak ditukarkan ke bentuk gelombang, yang kemudiannya perlu diarahkan ke penerima gelombang tersebut.

Mexican Wave tidak akan berlaku sekiranya tidak ada daya manusia yang menggerakkannya. Begitu juga untuk mewujudkan Gelombang Membaca. Ia tidak akan wujud dan berjaya sekiranya tidak ada seseorang atau sesebuah kumpulan masyarakat yang menjadi daya-daya penggeraknya. Gelombang Membaca: Daya Penggerak, Daya Penolak, Daya Penarik Untuk mewujudkan daya-daya penggerak Gelombang Membaca, beberapa ciri-ciri daya-daya itu perlu diperjelas dan dibincangkan. Seperti mana para saintis mengkaji, menulis dan menerima komen membina untuk melengkapkan kajian mereka, begitu juga yang harus berlaku kepada perbincangan isu-isu yang melibatkan pengwujudan budaya ‘baru’ di dalam masyarakat kita, seperti budaya membaca.

Antara daya-daya yang perlu diwujudkan ialah:

1. Daya penggerak

Daya penggerak ialah manusia itu sendiri. Mereka yang ‘terpilih’ perlulah mempunyai ilmu yang cukup untuk memperkatakan tentang budaya membaca, perihal dunia buku, epistomologi, biblioholism dan sebagainya yang amat berkaitan dengan masyarakat, membaca dan budaya. Sebagai satu daya penggerak kepada gelombang membaca, manusia seharusnya mempunyai kualiti ilmuwan. Namun hukum alam (apabila dilihat secara lebih realitis) akan memperlihatkan bukan semua manusia mempunyai kualiti itu. Biarpun benar manusia adalah Khalifah yang dilantik Allah di muka bumi ini, namun hanya kelompok-kelompok tertentu sahaja yang layak. Mereka adalah yang beriman kepada Allah. Yang tentunya apabila dikaitkan semula dengan ilmu, hanya mereka yang berilmu sahaja yang layak memimpin ummat manusia. Terlalu banyak contoh di dalam peradaban manusia yang memperlihatkan kepentingan ilmu di dalam memandu kesejahteraan hidup manusia.

Malah di dalam peradaban moden yang berteknologi ini pun masih dapat kita saksikan bagaimana masyarakat yang tidak berilmu (tidak membaca) hidup dalam keadaan yang penuh kedaifan dan menuju kehancuran. Peperangan, perselisihan, kebuluran, kehancuran nilai-nilai sosial dan sebagainya yang negatif adalah hasil daripada tidak menjadikan ilmu sebagai objektif utama kehidupan mereka. Ilmu adalah berkadar terus dengan iman. Keimanan seseorang perlu disusuli dengan ilmu. Dan ilmu juga berkadar terus dengan membaca. Tanpa membaca, ilmu tidak akan terhasil. Dan hanya bacaan terpilih sahajalah yang layak dikutip dan dibaca. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. ‘...membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu’. Telah diterangkan di atas, kepentingan ilmu, dan kesan membaca terhadap perkembangan ilmu.

Manusia sebagai Khalifah amat memerlukan sifat dan nilai ini. Tetapi bagaimana Daya Penggerak ini iaitu manusia boleh dijadikan satu penggerak utama kepada pencarian ilmu atau lebih spesifik lagi mewujudkan Gelombang Membaca yang lebih besar? Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dikupas, dan penulis percaya ia tidak akan terhasil dalam masa yang singkat. Amalan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum sesebuah budaya terhasil. Dan Daya Penggeraklah yang memastikan Gelombang Membaca ini terhasil dan tsunami akan terwujud. Ciri-ciri lain yang perlu ada, jika dapat dirujuk pada The Tipping Point, tulisan Malcom Gladwell ialah seseorang Penggerak itu perlulah dikategorikan di dalam The Law of the Few. Gladwell telah membicarakan tentang teorinya ini dengan mencadangkan bahawa walaupun hanya menggunakan sejumlah kumpulan manusia yang sedikit, perubahan besar akan berlaku. Namun begitu, sejumlah kumpulan manusia yang sedikit itu perlulah pula mempunyai ciri-ciri yang memungkinkan mereka dikenali sebagai Penggerak. Tiga ciri-ciri tersebut ialah penghubung (connector), pakar (maven) dan jurujual (salesman). Jenayah, misalnya, Gladwell cuba merungkai bagaimana peratusan jenayah di sesuatu kawasan (misalnya, beliau cuba melihat tren jenayah di Amerika Syarikat) menurun secara mendadak. Beberapa kajian dan pemerhatian telah dilakukan. Dengan melihat beberapa statistik dari polis, beliau cuba menyiasat punca kepada penurunan tersebut.

Begitu juga kenaikan peratusan penyakit kelamin. Beliau cuba melihat bagaimana peratusan ini naik secara mendadak. Fesyen pula, misalnya kasut sukan (Hush Puppy) yang pada satu ketika dahulu langusng tidak dihiraukan, sehinggalah sekumpulan remaja jalanan yang memperkenalkannya semula, lantas menjadikan ia satu fesyen terbaru dunia. Gladwell mengkaji fenomena-fenomena ini dengan terperinci. Beliau cuba mencari punca-punca terhadap penurunan dan kenaikan mendadak, lantas mengkaji sekiranya ada faktor-faktor yang sama berlaku. Hasilnya, satu persamaan wujud, iaitu tentu ada faktor manusia yang mempunyai sifat-sifat yang sama mempengaruhi setiap perkara yang dikaji Gladwell. Beliau melihat perkembangan ini bukan sekadar dari aspek pengurusan, malah melihatnya sebagai satu evolusi pemikiran ketamadunan. Sifat-sifat manusia itu dikategorikan Gladwell sebagai penghubung (connector), pakar (maven) dan jurujual (salesman). Penghubung (connector) ialah mereka yang mempunyai ‘kuasa semulajadi’ yang dapat menghubungkan masyarakat dengan seseorang individu. Beliau perlulah berkuasa (dalam erti kata masyarakat mendengar dan menerima nasihatnya) dan setiap individu di dalam masyarakat itu dihubungkan secara langsung atau tidak langsung kepada penghubung tersebut.

Manakala pakar (maven) ialah mereka yang mempunyai ilmu dan memahami selok-belok bidang tersebut. Dan jurujual (salesman) ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri semulajadi yang dapat menarik perhatian masyarakat terhadap perkara atau objek yang menjadi barangan jualannya. Ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang baru di dalam peradaban manusia. Cuma, mungkin bezanya Gladwell menjenamakan ia semula. Islam misalnya telah memperlihatkan beberapa dari umatnya yang telah berjaya mendoktrinasikan tamadun dengan keindahan Islam. Rasulullah sendiri mempunyai kualiti insan terpilih yang begitu cemerlang, di dalam mengurus diri, keluarga, masyarakat dan ummat. Baginda bukan sekadar menjadi seorang pemimpin umat manusia, malah menjadi pemimpin kepada keluarganya sendiri.

Malahan dakwah Baginda di dalam menyebarkan Islam pada akhir zaman jahiliah dulu telah dirancang dengan begitu teliti. Bermula dengan hanya beberapa orang yang telah diIslamkan, kepada jumlah ummat Islam yang berjuta-juta orang pada zaman sekarang, sehingga menjadikan Baginda adalah pilihan utama kepada para orientalis di dalam membicarakan Baginda sebagai pemimpin dunia yang terpilih. Jikalau dilihat kepada teori yang dikemukakan oleh Gladwell, Rasulullah tentunya lebih daripada memenuhi kriteria-kriteria itu, malah Bagindalah seharusnya dijadikan rujukan utama. Sepertimana yang telah dilakukan Baginda semasa menyebarkan agama Islam di dunia Arab dengan menumpukan kepada kumpulan-kumpulan sasaran tertentu, gerakan membaca juga bolehlah dianjurkan secara sedemikian juga.

Untuk mewujudkan Penggerak Gelombang Membaca yang berjaya, perlulah ia dimulakan terlebih dahulu di dalam kelompok-kelompok kecil yang bersatu. Misalnya, apa yang telah diamalkan oleh masyarakat Britain dan Amerika Syarikat ialah dengan menubuhkan kumpulan-kumpulan pembaca (reading group). Berlainan dengan negara-negara maju, yang telah mengamalkan amalan atau lebih bijak jika dirujuk sebagai budaya membaca secara berkumpulan. Misalnya di United Kingdom, telah wujud lebih 50,000 kumpulan pembaca. Manakala di US, lebih 100,000 kumpulan pembaca wujud di dalam masyarakat mereka. Kumpulan pembaca bolehlah didefinisikan sebagai sesuatu kumpulan yang berkumpul untuk berbincang, berkongsi, membedah isi sesbuah buku yang dikongsi bersama untuk sesuatu masa. Malah, kadang-kala kumpulan pembaca ini dirujuk sebagai Kelab Buku. Tetapi bagi penulis, kumpulan pembaca ini lebih bersifat mikro jika dibandingkan dengan kelab buku yang lebih bersifat makro.

Skop kumpulan pembaca ini lebih kecil dan menjurus kepada kumpulan pembaca yang tidak lebih daripada 10 orang. Manakala ahli kelab buku boleh lebih daripada 10 orang, malah lebih daripada itu sehingga menjangkau ribuan pembaca. Antara contoh kelab buku yang aktif dan popular ialah Kelab Buku Oprah, yang dimiliki oleh Oprah Winfrey, seorang ‘pengacara buku’ yang popular di Amerika Syarikat. Manakala di Malaysia, kelab buku diwujudkan oleh perpustakaan dan juga toko-toko buku. Misalnya Kelab Buku Kanak-kanak Dewan yang telah ditubuhkan pada 14 Julai 1979. Oleh kerana ia bersifat komersial, maka ahli-ahlinya perlu membeli buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan DBP pula menerbitkan Berita Buku Dewan yang akan menyenaraikan tajuk-tajuk buku baru dan kegiatan-kegiatan kelab. Juga boleh dirujuk kepada MPH yang juga mewujudkan kelab bukunya sendiri, dan menerbitkan majalah Quil sebagai penyambung silaturrahim antara kelab dan ahli-ahlinya.

Atau University Bookstore (UBSM) dengan kelab bukunya sendiri yang telah pun dianggotai lebih 10,000 ahli. Penulis ingin merujuk kepada tulisan Dato’ Hassan Ahmad ketika merasmikan projek ‘Kempen Gunakan Perpustakaan’ pada 13 November 1981 yang telah mencadangkan kepada Persatuan Perpustakaan Malaysia: Kita patut menggalakkan penubuhan kelab-kelab buku di seluruh negara. Saya syorkan supaya seorang atau dua orang wakil dari Persatuan Perpustakaan Malaysia atau bersama-sama pihak Perpustakaan Negara, dan seorang wakil Persatuan Penerbit Malaysia, mengkaji sistem kelab buku yang telah berjaya diadakan di beberapa buah negara lain, terutamanya di Denmark. Jika peranan kelab buku diuruskan oleh sesuatu organisasi, sama ada perpustakaan atau toko buku, kumpulan pembaca pula diuruskan oleh masyarakat itu sendiri. Malah anda pun boleh mewujud dan menguruskan kumpulan pembaca anda sendiri. Tidak perlu dilantik sebagai Ketua Pustakawan atau mempunyai puluhan juta ringgit untuk berjaya sebagai seorang usahawan buku.

Yang anda perlukan ialah perancangan, kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama, makanan dan yang paling penting buku! Jika dirujuk pada The Reading Group Handbook tulisan Rachel W. Jacobsohn, telah menyenaraikan beberapa langkah yang perlu diambil oleh sesebuah kumpulan pembaca ketika ‘bersidang’ yang lebih dikenali sebagai ‘Rachel’s Rule of Order’, antaranya:

  1. Ahli-ahli tidak boleh merokok semasa kumpulan pembaca ini bertemu
  2. Kanak-kanak tidak boleh mencampuri urusan pembacaan ketika kumpulan pembaca ini sedang ‘bersidang’
  3. Ahli-ahli kumpulan pembaca dilarang bersosialisasi atau bersembang-sembang kosong
  4. Binatang peliharaan tidak dibenarkan berkeliaran
  5. Tiada gangguan kebisingan yang keterlaluan
  6. Tiada deringan telefon
  7. Tiada urusan kraftangan
  8. Kurangkan pergerakan ahli-ahli ketika berbicara Mungkin ia agak keterlaluan, tetapi percaya atau tidak, inilah antara peraturan yang telah dikenakan pada setiap kumpulan pembaca di negara-negara barat. Malah, perlu ditambah di sini, makanan dan minuman (dan kadang-kala peneraju sesebuah kumpulan pembaca menyediakan menu yang bersesuaian) juga merupakan satu peraturan yang diwajibkan bagi sesebuah kumpulan pembaca. Namun begitu, untuk mewujudkan kumpulan pembaca di dalam masyarakat kita, mungkin tidak perlu mewujudkan peraturan-peraturan ketat seperti di atas. Sebaliknya satu perancangan yang rapi perlu diwujudkan. Mungkin jika gerakan kumpulan pembaca ini sudah serasi dan berjaya di Malaysia, maka kajian lebih mendalam perlu dilakukan untuk memantapkan kumpulan pembaca ini.

2. Daya penarik

Buku dan industri buku itu sendiri adalah daya penariknya. Buku tidak boleh dianggap sebagai bebanan kepada seseorang atau sesuatu masyarakat. Buku perlu dilihat sebagai penyumbang kepada ekonomi dan perubahan sosio-budaya. Buku perlu di’ubahsuai’ bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Di dalam masyarakat maju seperti di negara-negara barat dan maju, buku tidak lagi dilihat sebagai sebuah hasil karya yang membosankan atau mempunyai reka kulit buku yang langsung tidak menarik. Perubahan perlu dilakukan dan sesebuah syarikat penerbitan perlu berani berinovasi. Inovasi pula perlulah diikuti dengan penyelidikan dan pembangunan. Maka untuk itu faktor kewangan perlu diambilkira. Penerbit perlu sanggup mengeluarkan sejumlah wang dari modalnya untuk memastikan buku-buku terbitannya kelak diterima oleh masyarakat, yang bukan sekadar melihat isinya, malah kulit dan kualiti penerbitannya itu. Manakala industri buku, terutamanya kedai-kedai buku perlu berani tampil dengan perubahan. Rekaletak rak-rak buku, kaedah-kaedah pemasaran terkini dan alat-alat bantu pemasaran perlu diambilkira.

3. Daya penolak

Masyarakat itu sendiri merupakan daya penolak. Sesuatu budaya adalah terhasil daripada amalan yang telah diamal dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Ia tentunya mengambil tempoh masa tertentu untuk berevolusi. Bagaimana ia bermula, tentunya dari seseorang individu yang kemudiannya diterima pakai oleh keluarga tersebut, lantas diterima dan diamalkan oleh masyarakat setempat. Kita sebagai umat Melayu di Malaysia ini tentunya mempunyai 1001 amalan yang telah sebati dengan umat ini sendiri. Dan disebabkan itulah budaya terhasil dan menjadi darah daging pengamalnya. Begitu juga dengan budaya membaca yang diperbincangkan di dalam tulisan ini. Ia perlu diamalkan terlebih dahulu oleh individu-individu yang telah dikenalpasti sebagai penggerak. Lantas, penggeraklah juga yang akan menolaknya ke hadapan supaya kemudiannya dapat dijadikan amalan masyarakat setempat.

Penutup

Ia tentunya bukan satu perkara yang mudah. Daya-daya yang telah dibincangkan di atas perlulah mengalami proses evolusi yang akan mengambil masa. Sekiranya daya-daya tersebut dapat diwujudkan terlebih dahulu, tidak mustahil siri gelombang-gelombang akan wujud. Tidak besar, kecil pun memadailah sebagai permulaan. Gelombang-gelombang air di lautan, walaupun mungkin ada yang kecil, tetapi tidak mustahil berupaya mewujudkan siri gelombang air yang lebih besar, lantas dapat meranapkan pantai-pantai berbatu di pesisirnya. Itulah kekuatan sesebuah gelombang.

NOTA:

Pengulas: KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM Kerjaya: PENSYARAH, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA Alamat: Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Jalan Gombak, 53100, Kuala Lumpur Telefon: 017-3166508 e-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.