Norhayati Razali Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku Perbadanan Kota Buku This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
PENGENALAN
Perbadanan Kota Buku diilhamkan sejajar dengan hasrat Dasar Buku Negara yang menyarankan agar ditubuhkan sebuah Pusat Buku. Sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan perbukuan bagi pembaca, penulis dan penerbit boleh bertemu dan menjalankan pelbagai aktiviti yang berkaitan antara satu sama lain. Perbadanan Kota Buku di tubuhkan sebagai sebuah entiti syarikat berhad menurut jaminan di bawah akta syarikat 1965 pada 6 Julai 2011 dan mula beroperasi secara rasmi pada 2 Januari 2012.
LATAR BELAKANG
Kewujudan pekan buku seperti Hay-On-Wye, Wales; Redu Village du Livre, Belgium; Bredevoort, Belanda; Stillwater, Amerika Syarikat; Montolieu, Perancis; Miyagawa, Jepun dan Wigtown, Scotland menggambarkan betapa membaca sudah menjadi amalan dan budaya masyarakat seluruh dunia. Pekan buku diwujudkan sebagai sebuah tempat yang khas mengumpulkan penggiat, pencinta dan buku-buku tidak kira baru atau lama, termasuk buku nadir (rare books), buku terpakai dalam pelbagai bentuk, bahasa dan bidang yang mampu dibeli dengan harga murah.
Dalam konteks Asia, daerah Paju di Korea Selatan telah berjaya menjadi peneraju industri perbukuan di rantau Asia dengan menempatkan sebahagian besar kegiatan perbukuan di satu pusat pertemuan yang menggabungkan kesemua entiti dalam bidang penerbitan buku bermula daripada penulis, penerbit sehingga kepada pembaca. Korea Selatan yang tersepit di antara 2 budaya, iaitu budaya Cina dengan Jepun telah berani keluar dan membawa budaya membaca sebagai amalan yang boleh dikomersialkan.
Kini daerah tersebut telah dikenali sebagai Paju Book City yang menghimpunkan sebuah komuniti dagangan buku serta memainkan peranan sebagai pusat sehenti bagi penerbit, pencetak, pengedar, pembekal kertas, dan pereka di satu tempat seluas 1,552,320m persegi. Paju Book City dirancang bukan sahaja “mengembalikan semula nilai kemanusiaan yang hilang di bandar - bandar biasa”, tetapi juga mengubah perspektif dan amalan terhadap bidang perbukuan. Korea Selatan telah meletakkan sektor pendidikan ke tahap yang tinggi dan juga mewujudkan masyarakat yang mempunyai tahap literasi yang tinggi. Peranan ke arah ini turut dimainkan oleh sektor perbukuan dan sektor ini telah meletakkan Korea Selatan sebagai salah sebuah negara yang paling maju dalam industri perbukuan.
Pada 3 Mac 2006, Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia) semasa merasmikan penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Dewan Industri Buku Melayu Malaysia, telah menyarankan diwujudkan Kota Buku di lokasi strategik. Pada 19 Mei 2009, gagasan penubuhan Kota Buku telah dizahirkan semula menerusi ucapan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pelajaran di Majlis Pertemuan Pemimpin dengan Sasterawan Malaysia anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Putrajaya.
OBJEKTIF PENUBUHAN KOTA BUKU
Objektif mewujudkan Kota Buku adalah seperti berikut:
- menyediakan infrastruktur kepada semua usahawan industri berkaitan buku dan persatuan buku tempatan di bawah satu bumbung;
- menjadi pusat pameran dan jualan buku terbitan syarikat tempatan dan luar negara;
- menjadi pusat pertemuan kepada pelbagai urusan jual beli buku dan bagi pelbagai urus niaga membabitkan industri buku;
- menyediakan kemudahan kepada pustakawan, pensyarah, penyelidik, pelajar dan semua pihak berkaitan untuk mendapatkan koleksi buku terkini terbitan dalam dan luar negara;
- menyediakan infrastruktur bagi pelbagai aktiviti membabitkan pembangunan industri buku;
- menyediakan ruang yang berfungsi sebagai pusat pameran mini bagi proses lengkap penerbitan sesebuah buku; dan (vii) menyediakan kemudahan bagi melaksanakan aktiviti pengumpulan maklumat untuk apa juga perkara berkaitan industri buku negara.
HALA TUJU KOTA BUKU
Penubuhan Kota Buku juga akan memacu pembinaan sebuah masyarakat berilmu dan berdaya maju selaras dengan hasrat menjayakan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020, sekali gus meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju di rantau ini yang memberi keutamaan kepada industri buku sebagai penanda aras ketamadunan bangsa. Oleh yang demikian, hala tuju Kota Buku menjelang 2020 adalah seperti berikut :
- Sebagai pusat pangkalan data bagi penulis, penerbit dan penggiat buku . Menjelang tahun 2020, Kota Buku akan bergerak seiring dengan Negara maju dengan menyediakan kemudahan kepada penulis, penerbit dan penggiat buku dalam bentuk pangakalan data bagi penulis, penerbit dan penggiat buku yang lain. Buat masa ini data yang komprehensif berkaitan industri buku di Malaysia masih lagi belum mantap sepenuhnya. Data yang komprehensif akan dapat membantu industri perbukuan Negara berdaya saing serta menjadi rujukan kepada pembangunan infrastruktur dan perancangan yang jitu. Ini selaras dengan matlamat Kota Buku membantu industri menjana pendapatan dan ekonomi Negara
- Sebagai pusat dagangan hak cipta tempatan dan antarabangsa Kegiatan perbukuan perlu diangkat supaya impak intelektual Negara boleh dipasarkan ke peringkat global. Kota Buku akan menjadi hub pusat dagangan buku utama bagi rantau Asia Tenggara dengan membuka peluang kepada penulis dan penerbitan tempatan memasarkan karya mereka keluar Negara dan dalam Negara. Kota Buku akan bergerak secara bersepadu kearah itu dengan menyediakan platform berbentuk pembangunan modal insan, membina rangkaian hubungan dan mempromosi karya Malaysia. Dagangan hak cipta telah memberikan pulangan yang lumayan terutama di Negara Timur Jauh.
- Sebagai pusat pembangunan , penerbitan dan penjualan buku elektronik (e-book) Sejajar dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi, Kota Buku mempunyai visi untuk menjadi sebagai pusat pembangunan penerbitan elektronik melalui latihan dan bengkel bagi penghasilan karya kreatif kanak-kanak, ilimiah, saintifik dan teknologi. Bagi tujuan ini, bukan sahaja karya baharu dihasilkan tetapi juga karya lama yang mempunyai nilai yang tinggi juga akan diketengahkan melalui e-book. Menjelang tahun 2020 pasaran buku elektronik di lihat akan memberi impak yang tinggi kepada pulangan Negara. Kota Buku juga telah menetapkan sasaran sepuluh ribu judul buku eletronik menjelang 2020. Buat masa kini, Kota Buku sedang giat menjalankan aktiviti untuk membangun judul dan membina kandungan bagi penerbitan elektronik .
PENUTUP
Bagi merealisasikan impian Kota Buku dan menjadi kenyataan menjelang 2020, adalah diharapkan supaya industi perbukuan negara terutamanya penerbit, penulis dan pembaca dan seluruh ekosistem perbukuan akan sama-sama mengorak langkah untuk menjayakan aktiviti yang di laksanakan oleh Kota Buku. Banyak ruang dan peluang terbuka luas di luar sana dan perlu dicapai segera dengan jayanya.