PENULISAN SATU PERNIAGAAN

DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj www.drtuah.com

BOLEH menjadi seorang yang nostalgik tetapi usah terlalu menjiwainya. Mengapa? Apa buruknya terlalu nostalgik? Bukankah nostalgik itu sifat yang baik kerana ia menunjukkan betapa tulusnya rasa seseorang? Iya, betul, tetapi kalau terlalu dalam apa perkara sekalipun hasilnya buruk. Malah dalam beribadah pada orang yang terlalu, ditakuti hujungnya akan bosan, akhirnya langsung tidak berbuat, berbanding orang yang sederhana tetapi berkekalan, itu lebih baik.

Sabda Rasulullah saw, "Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya ALLAH tidak akan bosan sebelum kamu berasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai ALLAH ialah amalan yang ringan namun berterusan." - (Muslim) Pada orang yang terlalu nostalgik dia akan suka mengenang-genang, tatkala dia sedang terlalu mengenang itu mungkin sahaja dia akan bertindak menghubungi orang berkenaan.

Sangkanya orang berkenaan juga sedang terkenang-kenangkan dirinya. Apabila panggilan tidak berjawab atau SMS tidak berbalas dia akan mereka macam-macam kemungkinan. Dia sudah lupakan akukah? Dia sudah berubahkah? Dia sudah tidak seperti dulukah? Hasilnya dia akan berasa terlalu kecewa dan terlalu sedih. Terlalu nostaligik atau terlalu mengenang ini tidak baik untuk jiwa yang kental. Kepaduan hati sangat diperlukan dalam mengharungi hidup, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang mempunyai impian besar untuk direalitikan.

Bayangkan sahaja seorang isteri yang terlalu mengenangkan arwah suaminya, dia akan selalu bersedih. Mungkin juga dia akan menutup hatinya untuk sesiapa sahaja, sedangkan suami yang telah meninggal dunia itu sudah berada di alam lain, pastinya tidak akan berupaya membalas ingatinya pun. Dalam keadaan begini, gantikanlah perasaan nostalgik itu dengan doa, itu lebih baik daripada terlalu mengenang barangan peninggalan suami, mengenang kebaikan-kebaikannya, mengenang semua kenangan yang pernah dilalui bersama. Itu semua akan hanya melemahkan kemahuan untuk terus hidup dalam suasana penuh berjaya.

Alangkah ruginya orang selalu membuai-buai perasaannya tetapi membiarkan sahaja model itu terbiar. Bukankah baik jika dilahirkan dalam bentuk tulisan, dibina cerita untuknya lalu menjadi sebuah novel, lalu diterbitkan, kemudian dijual untuk buat duit. Ramai orang tidak tahu, penulis novel masakini menikmati royalti hingga beratus ribu. Penulisan adalah bisnes pada yang tahu memperalatkan kelebihan ini. Mereka yang nostalgik sebenarnya boleh melahirkan perasaan mereka dalam bentuk yang lebih mencarik perasaan pembaca. Ini adalah model yang boleh dipertaruhkan dalam menghasilkan cerita yang boleh meletop di pasaran.

Terutama genre novel cinta, para pembaca mudah terpegun oleh gaya bahasa yang menggamit hati. Seseorang yang sedang mengalami masalah ini jika menulis akan menghasilkan karya yang luar biasa. Seorang ustaz bercerita begini pada saya, katanya, satu hari dia pergi ke rumah seorang kawan. Sebaik sahaja masuk ke rumah kawan berkenaan, di ruang tamu, didapatinya ada sebuah balang kaca yang mana di dalam balang kaca itu ada sebatang pen. Pen itu bukanlah berjenama lagi mahal, hanya pen mata bola kilometrico berharga tidak sampai seringgit.

“Saya pun berasa hairan lalu bertanyalah kepada kawan saya itu tadi, awat hang simpan pen kilometrico dalam balang kaca? Letak di ruang tamu pulak? Macam dimuliakan sangat-sangat.” “Haaa, hang tak taukah? Pen ini pemberian Agong.”

Terlalu nostalgik pada barang atau benda berbeza dengan terlalu nostalgik terhadap orang. Lihat apabila sebatang pen dimasukkan dalam balang kaca lalu diletakkan di tempat yang mulia, ia meletakkan sama perasaan nostalgik itu di situ. Apabila orang datang dan menegur dengan bangganya boleh bercerita. Berbeza bukan dengan nostalgik terhadap manusia lebih-lebih lagi jika manusia itu telah tiada atau manusia itu adalah kekasih gelap, atau manusia itu seseorang tidak mungkin boleh dimiliki lagi.

Jika anda termasuk salah seorang yang begini, jelmakanlah orang berkenaan dalam bentuk karya dan nikmati hasilnya. Penulisan adalah bisnes yang lumayan jika tahu ia adalah peluang membina kemasyhuran juga kekayaan. Ada orang akan menjelmakannya dalam bentuk benda dan meletakkannya di tempat yang terang supaya boleh dilihat selalu. Usah hanya simpan wajahnya dalam hati, kelak ia mengelodak dan meracau ketenteraman diri anda. Jelmakan sahaja dia dalam bentuk benda yang tidak diketahui oleh orang lain bahawa benda itu adalah dia. Hanya anda yang tahu. Apabila diletakkan di tempat terang lagi mudah dilihat, setiap kali rasa meronta-ronta tumpahkan rasa itu pada benda tadi, insya-ALLAH ia melegakan, tidak lagi terlalu mengelodak dalam hati.

Malah, perasaan-perasaan begini apabila dibukukan ia adalah satu bentuk penghargaan yang amat tinggi lagi kekal. Lebih menarik ia mendatangkan pendapatan tanpa perlu bekerja hari-hari. Selama mana buku berkenaan dibeli orang, selagi itulah penulis menikmati hasilnya. Dengan syarat, penerbit yang menerbitkan bahan berkenaan adalah penerbit yang jujur – tidak culas membayar royalti, benar-benar komited untuk melahirkan para usahawan daripada bidang penulisan.

Menjadi orang yang setia dan berperasaan jujur itu baik, tetapi biarlah telus sebab sesuatu yang hanya tersimpan di dalam akan sentiasa minta diluahkan, maka luahkanlah agar tidak terlalu nostalgik. Luahan terbaik adalah menuliskannya, membukukannya serta kongsikan dengan orang lain dengan menjualnya – penulisan juga adalah satu bentuk perniagaan yang lumayan.

Tahukah anda, saya juga menulis buku ketika dalam perjalanan, jika tidak bagaimana saya dapat menghasilkan sehingga 100 judul buku? Sebenarnya ini adalah persoalan bagaimana anda mengurus masa dan apa yang ada dalam minda anda. Ada orang masanya banyak tetapi tiada sebarang kerja dapat dilakukan. Mengapa? Sebab mereka tidak menggunakan potensi minda sepenuhnya untuk jadi unggul. Orang bahagia dia pasti boleh melaksanakan semua kerja dengan sempurna. Orang yang ada idea dalam mindanya tentu tidak sama dengan orang yang keliru lagi serabut.

Biar saya berikan tiga tips bagaimana ini boleh dilakukan:

  1. Sibukkan diri anda pada kerja-kerja keTUHANan, kelak diri anda bagaikan dilancar menyelesaikan semua kerja berkaitan kemanusiaan dan keduniaan. Semua pengalaman yang dilalui boleh menjadi ilham yang membuak-buak untuk menghasilkan tulisan yang berkesan.
  2. Lakukan semua perkara dengan suka, kelak apa yang anda lakukan itu menjadi lebih mudah. Kalau tak suka sedangkan perkara yang anda lakukan itu adalah sesuatu yang memang terpaksa anda lakukan juga, maka beritahulah diri supaya menyukainya, kelak ‘ia’ akan mengerti. Jika tidak menyukai bidang penulisan atau merasakan tiada berbakat untuknya, cuba sahaja dulu. Ramai penulis yang sedang buat duit hari ini bermula daripada novel yang asalnya ditolak oleh penerbit. Salah seorang daripada mereka ialah Ramlee Awang Mushid, novel ‘Tombirou’ pernah ditolak oleh penerbit sebelum diterbitkan oleh Penerbit Alaf 21, kemudiannya menjadi novel triler yang mencatat jualan tertinggi di Malaysia.
  3. Munajat selalu supaya anda dikurniai ilham. Tahukah anda mengapa kita jadi bingung?

Sebab kita tiada idea menangani sesuatu masalah itu. Andainya kita memiliki ilham yang diperlukan, sudah tentu segalanya menjadi lancar. Soalnya dari manakah datangnya ilham yang baik-baik? Jawabnya dari ALLAH SWT. Oleh itu bersandarkan selalu pada ALLAH pada waktu anda senang mahupun susah. Banyak membantu orang, banyaklah masalah anda yang ALLAH bantu.

Sampailah pada acara menyampaikan geran lot-lot banglo pada 20 orang pembeli pertama. Pada perkiraan saya mereka yang akan tampil ke pentas menerima geran masing-masing adalah bangsa asing, maklumlah lokasi lot banglo ini di kawasan pelancongan di Ayer Keroh Melaka. Tetapi alangkah terujanya saya apabila mendapati kesemua mereka adalah orang Melayu.

Sebahagian daripada mereka adalah berusia muda tetapi selebihnya adalah mereka yang berusia melebihi 40 tahun ke atas. Dari manakah kemampuan mereka datang? Tentunya dari usaha luar biasa dan sekaranglah menikmati hasilnya. Atau boleh jadi berkat iltizam membuat simpanan, kini tibalah masanya untuk merealisasikan impian yang telah bersarang lama itu. Namun, tidak dinafikan sebahagian pembeli hartanah di kawasan-kawasan mewah terdiri daripada mereka yang membuat duit secara senyap, iaitu melalui bidang penulisan.

Peristiwa ini adalah salah satu senario dalam program business talk dengan tajuk “Now Everybody Can Do Business” dan sayalah ‘Tokoh Usahawan’ yang diundang oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk menjayakan program berkenaan. Dalam ‘Bicara Tokoh’ undangan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pula, saya turut menyatakan bisnes dalam industri perbukuan memerlukan mereka yang berani menceburi sesuatu bidang yang tidak ingin diceburi oleh orang lain, sedang sebenarnya di situlah punca buat duit. Dengan 100 judul buku misalnya, andainya saya mendapat RM1000 untuk setiap judul yang diterbitkan setiap tahun, saya sudah ada RM100,000.00 setahun, tanpa perlu berbuat apa-apa. Menulis sekali dan menikmati hasilnya berulang-ulang kali. Ia bagaikan bisnes pisang, sekali tanam, makan selamanya, sekali lagi, dengan syarat karya anda itu diterbitkan oleh penerbit yang benar-benar baik.

Nyata, keusahawanan telah mengangkat martabat dan membangunkan hati. Alangkah hebatnya melalui hari tua dengan kemampuan yang sedemikian rupa. Berbanding hari tua hanya penuh dengan rasa sedih oleh kemiskinan yang menyelimuti.

Apabila kehidupan kita dirancang dengan baik, tiba masanya akan bersenang lenanglah menikmati hasilnya. Bijak berbelanja serta pandai berusaha akan kayalah apabila tiba masanya.

Sebagaimana sembilan pelabur emas memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pelaburan emas untuk menuntut dipulangkan wang pelaburan mereka melebihi RM2 juta, mereka mendakwa bagi menyertai skim tersebut, mereka dikehendaki mendeposit sejumlah wang untuk membeli jongkong emas dengan dijanjikan pulangan dua hingga 5% sebulan.

Daud Muhammad (63 tahun) telah membayar sebanyak RM405,250; Sofiah Halili (42 tahun) RM307,755; Fazilahtun Ahmad (42 tahun) RM424,000; Izuan Daud (32 tahun) RM119,900; Mahmud Idris (73 tahun) RM60,300; Mohd Sabri (55 tahun) RM20,100; Noor Asykeen (36 tahun) RM20,100; Noorazylawati (35 tahun) RM671,455 dan Noraini Jasneh (30 tahun) sebanyak RM40,000. - (Bernama 21 Dis 12)

Lihatlah betapa banyaknya wang mereka. Sayangnya wang sebegitu banyak menjadi lebur akibat syarikat berkenaan disita oleh pihak berkuasa kerana ada unsur-unsur penipuan. Realitinya, syarikat-syarikat penerbitan buku di negara kita juga banyak sedemikian rupa.

Yang menariknya ialah keupayaan mereka mempunyai jumlah wang yang banyak. Itu menunjukkan usaha serta perancangan hebat yang telah dilakukan, mungkin juga hasil penulisan, meskipun sayangnya agak kurang matang hingga terbabit dalam skim yang tidak munasabah.

Orang kata, kalau duduk sahaja tidak berbuat apa-apa mustahil nasi datang sendiri menuju mulut. Kena cari dan ambil. Jika ALLAH redha, yang dicari boleh diambil lalu dapatlah dinikmati.

Adalah rugi membiarkan masa berlalu dengan mengisinya dengan cinta songsang sedang masa yang sama boleh digunakan untuk membina kekayaan. Lebih rugi jika berbakat dalam penulisan tetapi membiarkan perasaan digodak oleh nostalgia silam dan kerap menangis olehnya. Bukankah baik menuliskannya untuk dijual? Kaya oleh menjual ilham lebih terpandang daripada kaya oleh menjual barang. Sememangnya penulisan adalah satu perniagaan.